Anda di sini

Lebuh India akan miliki bumbung lebih cantik

Advertisement

APA KHABAR: Taib berbual dengan Wee semasa mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina di kediamannya di Kuching.

KUCHING: Lebuh India tidak lama lagi akan memiliki bumbung yang lebih cantik daripada bumbung di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kata Pengerusi Jawatankuasa Peniaga Pedestrian Mall Lebuh India Datuk Wee Hong Seng.

Beliau memberitahu, pelan dan reka bentuk projek bumbung itu sudah siap dan mendapat persetujuan daripada kesemua peniaga di situ termasuk pandangan agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak.

“Ia lebih baik dan cantik daripada apa yang ada di Jalan Petaling dan pada 6 Februari anda akan melihatnya (pelan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini kelmarin.

Wee yang juga Ahli Majlis Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) berkata, pada 6 Februari nanti, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai akan menerangkan pelan berkenaan kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran pengurusan Plaza Merdeka dan peniaga-peniaga Lebuh India.

“Ketua Menteri dijangka akan menghadiri majlis ini nanti dan pada masa itu Datuk Bandar akan menerangkan pelan tersebut (projek pembinaan bumbung di Lebuh India),” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, projek itu kelak dijangka menelan kos sebanyak RM4.3 juta akan bermula selepas Hari Raya Puasa sekitar Ogos tahun ini.

“Projek ini merupakan permintaan rakyat dan peniaga di situ dan mereka bersetuju tentang pelan yang telah dirangka.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh lapan hingga sepuluh bulan,” tambahnya.

Pelan untuk membina bumbung di Lebuh India diumumkan pada 2012 bagi memberi wajah baharu yang bersesuaian dengan pembangunan yang pesat di bandar raya Kuching.

Lebuh India merupakan pusat komersil tertua di bandar raya Kuching iaitu berusia 167 tahun yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan termasuk pelancong asing.

Terdahulu, Wee menerima kunjungan daripada Taib bersama isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Perancangan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan tetamu kehormat lain.

Advertisement