Anda di sini

Kempen Tandatangan Dasar Elektrik Yang Lebih Adil sasar 100,000 tandatangan

Advertisement

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyasar untuk mendapatkan tandatangan 100,000 rakyat negeri ini menerusi Kempen Tandatangan Dasar Elektrik Yang Lebih Adil.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu diadakan untuk menyeru kerajaan menurunkan tarif elektrik sebanyak 30 peratus.

Menurutnya, ini kerana pengurangan kos tarif elektrik merupakan satu cara untuk mengurangkan kos sara hidup masyarakat yang semakin meningkat sekarang.

“Jadi salah satu cara untuk mengurangkan kos sara hidup masyarakat adalah dengan mengurangkan tarif elektrik.

“Saya rasa ini (mengurangkan tarif elektrik) merupakan cara mudah dan secara langsung,” katanya ketika ditemui semasa Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, pada masa ini setiap lapisan masyarakat sama ada pengguna biasa, pengilang atau ahli perniagaan amat memerlukan elektrik.

“Ia (elektrik) merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

“Saya berpendapat pihak yang bertanggungjawab patut mengurangkan tarif elektrik dengan segera,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu juga berharap Syarikat SESCo Berhad (SESCo) dapat mengurangkan gangguan elektrik di seluruh negeri yang kerap berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Saya berharap SESCo dapat memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara kerap dan mempertingkatkan rangkaian transmisi serta edaran, bukannya menumpukan sumber untuk membina empangan hidro,” jelasnya.

Advertisement