Anda di sini

Chin nafi akan letak jawatan, bersara daripada politik

Advertisement

Chin

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin menafikan akan meletak jawatan dan bersara daripada politik bagi menyele­saikan kemelut yang melanda parti ketika ini.

Beliau yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP Jumaat lepas berkata, tindakan meletak jawa­tan atau bersara bukan penyele­saian terbaik untuk memulihkan parti.

Sebaliknya menurut beliau, kedua-dua pihak iaitu ahli-ahli SUPP yang telah berpecah kepada dua puak dengan salah satunya diketuai oleh Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh harus bek­erjasama dan kembali bersatu seperti sediakala.

“Saranan agar saya meletak jawatan dan bersara bukan idea yang baik dan saya rasa ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah ini.

“Perkara ini tidak semudah yang disangkakan oleh seseten­gah pihak, jika saya meletak jawatan bermakna saya tidak bertanggungjawab dan ia hanya akan mengeruhkan lagi kead­aan,” ujar Chin.

Ditanya mengenai perkemban­gan ROS (Jabatan Pendaftar Per­tubuhan), Chin berkata pihaknya kini dalam proses mengumpul semua dokumen yang diperlukan sebelum dikemukakan kepada ROS sebelum atau pada 6 Feb­ruari ini.

“Seperti yang diminta meneru­si surat tunjuk sebab, kami akan mengemukakan sebab-sebab serta keterangan yang sah kepada ROS dalam masa terdekat ini dan berharap ia akan diterima oleh ROS,” ujar Chin.

Mengulas mengenai sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, Chin berharap sambutan tahun ini akan menyatukan lagi parti serta menjadi lebih kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Seperti selalu, saya sentiasa berhajat untuk perpaduan dan kesatuan dalam parti dan ber­harap Tahun Kuda ini akan membawa lebih banyak tuah dan kekayaan di Sarawak serta keamanan dan keharmonian dari­pada semua aspek,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Chin dan barisan kepimpi­nan tertinggi SUPP yang lain menyambut kedatangan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri bersama isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib ke rumah terbuka Tahun Baharu Cina SUPP.

Selain Taib dan isteri, rumah terbuka tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mor­shidi Abdul Ghani serta menteri-menteri kabinet negeri.

Turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu Yang di-Per­tua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahud­din dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah serta ratusan rakyat berbilang kaum khasnya ahli, penyokong dan pengundi SUPP.

Advertisement