Anda di sini

Beri MCA peluang bertanding di Kajang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Memandangkan MCA sedang membuat kemunculan semula, parti itu patut diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika ia mempunyai peluang cerah untuk menang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas pandangan beberapa pihak bahawa UMNO pula patut diberi peluang bertanding di kawasan itu setelah MCA kecundang pada pilihan raya umum lepas, bekas perdana menteri ini berkata terserahlah kepada Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan mengenainya.

Namun, katanya beberapa perkara perlu diberi pertimbangan termasuk komposisi etnik di Kajang.

“Sekiranya orang Cina lebih banyak, maka lebih baiklah kita letak calon Cina juga,” kata beliau ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA di sini, kelmarin.

Kajang mempunyai 39,030 pengundi dengan 48.3 peratus daripadanya Melayu, Cina (40.5 peratus), India (10 peratus) dan kaum lain (1.2 peratus).

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, MCA memenangi kerusi itu tetapi tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013 kepada PKR. — Bernama

Advertisement