Anda di sini

Alberts pertikaikan jadual perlawanan

Advertisement

ROBERT ALBERTS

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mempertikaikan jadual per­lawanan Liga Super 2014 yang dilihatnya lebih banyak memihak kepada pasukan lawan.

Katanya, jadual perlawanan Sarawak yang lebih banyak bermain pada hari Selasa men­imbulkan persoalan sedan­gkan pasukan-pasukan lain banyak beraksi pada Sabtu.

Alberts juga berasa pelik apabila mendapati Sarawak tidak bermain untuk satu per­lawanan pun pada hari Selasa di gelanggang lawan.

“Jadual ini tidak memberi kelebihan kepada Sarawak, kerana ramai penyokong ter­utamanya para pelajar tidak dapat hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.

“Malah, ibu bapa juga be­rasa agak keberatan untuk tu­run menyaksikan perlawanan kerana komitmen terhadap kerja dan keluarga,” katanya di sini semalam.

Menurut Alberts, penyokong dari kalangan pelajar sering meluahkan rasa kecewa tidak dapat menon­ton perlawanan pada Selasa kerana perlu bersekolah pada keesokan harinya.

Katanya, meskipun penyokong yang hadir mem­beri sokongan pada Selasa tidak mengecewakan, namun tetap tidak dapat mengatasi jumlah penonton yang datang pada Sabtu.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sarawak hanya ber­main sebanyak lima perlawanan pada Sabtu di Stadium Negeri sepan­jang kempen Liga Super musim ini.

Manakala, selebihnya pada Selasa, Rabu dan Jumaat.

Sarawak akan bertan­dang ke Sta­dium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menentang Selangor pada pusingan kedua Piala FA, Selasa ini (4 Februari).

Mereka juga akan menjadi tetamu Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada perlawanan Liga Super, pada Jumaat depan (7 Februari).

Advertisement