Anda di sini

Tiada bantahan ajar taekwando di sekolah

Advertisement

MAKAN MALAM: Dr Toh (duduk tengah) bersama Norman serta ahli-ahli STF pada majlis berkenaan.

STF dibenar ajar seni pertahanan diri itu di sekolah asalkan jurulatih berdaftar, berkelayakan

SIBU: Jabatan Pendidikan Negeri tidak ada bantahan terhadap mana-mana persatuan taekwando termasuk Persekutuan Taekwando Sarawak (STF) bagi mengajar seni mempertahankan diri itu di sekolah-sekolah di seluruh negeri.

Penyelia Aktiviti Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Norman Suhaili berkata, ini kerana STF merupakan sebuah organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Kami tidak mempunyai halangan bagi mana-mana jurulatih STF untuk mengajar di sekolah-sekolah.

“Namun pastikan semua jurulatih adalah berdaftar dan berkelayakan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam STF, malam kelmarin.

Turut hadir Ketua Jurulatih STF Dr Henry Toh Yew King serta ahli-ahli STF yang lain.

STF merupakan sebuah badan yang bernaung di bawah Persatuan Taekwando Malaysia (MTA) dan Persekutuan Taekwando Dunia (WTF).

Sebelum ini, terdapat badan taekwando lain mempersoalkan status STF dalam usaha menghalang persatuan terbabit mengajar seni mempertahankan diri taekwando di sekolah-sekolah.

STF kini juga telah diiktiraf oleh Pejabat Persuruhjaya Sukan Negeri.

Sementara itu, STF juga menerima mereka yang berminat untuk mempelajari taekwando agar mendaftarkan diri di gimnasium persatuan yang terletak di tingkat atas Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu.

Latihan dijalankan setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat, bermula jam 5 petang.

Advertisement