Anda di sini

Tanpa perpaduan perayaan tidak akan meriah: TYT

Advertisement

TUN SALAHUDDIN

KUCHING: Perpaduan di kalangan rakyat amat penting kerana tanpa perpaduan sesuatu sambutan perayaan termasuk Tahun Baharu Cina (TBC) tidak dapat diraikan dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan.

Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dalam perutusan sempena TBC 2014 berkata, rakyat seharusnya bertuah kerana lahir di Malaysia yang aman dan damai.

Ia menurut beliau, membolehkan rakyat bebas bertemu sanak saudara dan sahabathandai bagi meraikan sambutan TBC.

“Konsep rumah terbuka yang sudah sinonim dengan rakyat Malaysia sejak sekian lama membolehkan sambutan ini dapat dirasai oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan menjadi jambatan penghubung dalam mengeratkan silaturahim serta semangat kekitaan sesama kita.

“Inilah keistimewaan dan keunikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa namun masih lagi dapat menerima antara satu sama lain.

Sikap ini yang perlu kita pertahankan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata, sempena menyambut kedatangan Tahun Kuda pada tahun ini, rakyat harus mengambil semangat kuda yang merupakan haiwan yang pantas dan lasak.

Sehubungan itu kata Tun Salahuddin, rakyat perlu mengambil semangat haiwan itu untuk terus memacu usaha dan bergerak pantas dalam membangunkan negeri dan negara ini dalam pelbagai aspek.

Bagaimanapun kata beliau, kemajuan sesebuah negeri atau negara tidak akan dapat dinikmati seandainya perpaduan di kalangan rakyat tidak dipertahankan.

“Saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Sarawak khususnya masyarakat Cina di negeri ini.

“Kita harus sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana dapat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini dalam suasana aman dan makmur,” katanya.

Advertisement