Anda di sini

Tahun 2014 dijangka lebih mencabar: Chin

Advertisement

MIRI: Berbanding tahun-tahun sebelum ini, tahun 2014 dijangka lebih mencabar, apatah lagi rakyat negara ini bakal berdepan dengan peralihan ekonomi.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin yang juga bekas Menteri Teknologi Hijau, Air dan Tenaga memberitahu bahawa seperti juga beberapa negara lain di dunia, Malaysia akan berdepan dengan fasa peralihan ekonomi yang berlaku, bagi memastikan pertumbuhan mapan dalam jangka panjang.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa akan berlaku kenaikan harga barang keperluan memandangkan ekonomi kita akan melalui fasa peralihan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, seperti yang dicita-citakan pada masa depan,” katanya.

Sehubungan itu kata Chin, rakyat juga perlu bersikap bertolak ansur dan rasional dalam melakukan tindakan, dengan memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan polisi dan mencapai objektif pelaksanaan sebagaimana yang telah dirangka.

Chin berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2014 yang dikeluarkannya di sini, semalam.

Bagi penduduk di Miri pula, Chin yakin mereka juga sepertinya, mahu menyaksikan sistem jalan raya dan infrastruktur yang lebih baik pada tahun ini.

“Selain melakukan pembaikan sistem jalan, penyelenggaraan bagi memastikan kelancaran trafik juga diharap dapat diteruskan.

“Selaku bekas Ahli Parlimen Miri, saya amat gembira dengan sistem perparitan yang semakin bertambah baik di Miri, kerana berjaya mengelak banjir besar daripada berlaku, meskipun hujan turun dengan amat lebat beberapa minggu lalu,” tambahnya.

Mengenai SUPP pula, Chin berkata 2014 adalah tahun yang amat penting kepada parti itu, kerana ia bakal melakar sejarah baharu parti, terutama menjelang perhimpunan agung tiga tahun sekali yang diadakan pada tahun ini.

“Saya harap melalui perhimpunan agung yang akan diadakan ini kelak, ia akan membantu menyelesaikan isu kepimpinan yang melanda parti ini sejak dua tahun lepas.

“Tahun ini juga kita berharap untuk menyaksikan kebangkitan kepimpinan dan muka-muka baharu dalam parti ini (SUPP), sekali gus mengembalikan semula perpaduan dalam parti,” katanya.

“Sempena Tahun Baharu Cina yang meraikan ketibaan Tahun Kuda, saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina dan semua rakyat di negara ini, semoga kita akan terus aman damai, harmoni dan bertambah makmur hasil daripada kekukuhan dan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini,” ujar Chin.

Advertisement