Anda di sini

Polis trafik rekod 909 kes kemalangan jalan raya

Advertisement

Bong bersama lain-lain pegawai dan anggota yang terlibat mengedarkan Goodies disertakan bersama risalah pesanan keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya.

LAHAD DATU: Sebanyak 909 kes kemalangan jalan raya membabitkan 43 kematian direkodkan oleh Jabatan Polis Trafik Cawangan Lahad Datu sepanjang tempoh tahun 2013.

Manakala menurut Pemangku Ketua Polis Daerah ini ASP Bong Khuet Kuin, bagi tempoh sama sepanjang tahun lalu itu, pihaknya juga merekodkan sebanyak 57 kemalangan yang melibatkan cedera parah, 739 melibatkan kes kecederaan ringan dan 68 kes kenderaan rosak.

“Kes yang berlaku adalah melibatkan kawasan hitam yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal yang dilihat mudah terdedah kepada bahaya jika tidak berhati-hati,” katanya yang ditemui selepas melancarkan Kempen Ops Selamat IV peringkat daerah bertempat di laluan Jalan Lahad Datu-Tawau sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, di sini, semalam.

Kempen itu disertai kira-kira 25 anggota termasuk pegawai dari cawangan Trafik Lahad Datu, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah dan SSPDRM.

Sementara itu, Bong mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Beliau berkata, sikap peka dan prihatin terhadap keselamatan adalah penting dan perlu dipertingkatkan dalam diri pengguna supaya memandu kenderaan dengan berhemah.

“Meskipun pelbagai langkah dan usaha telah diambil bagi mencegah kemalangan jalan raya, namun sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang perlu peka dan berhati-hati di jalan raya selain utamakan aspek keselamatan,” katanya.

Kempen yang dilaksanakan itu katanya, adalah bagi mengingatkan para pengguna secara berterusan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu.

Pada kempen itu, kira-kira 100 Goodies yang disertakan bersama risalah pesanan keselamatan jalan raya diedarkan kepada pengguna jalan raya selain khidmat nasihat pemanduan berhemah oleh para pegawai dan anggota yang bertugas.

Tiga kawasan Ops Selamat IV adalah melibatkan laluan pintu keluar masuk ke daerah ini iaitu laluan di Kilometer 5 Jalan Lahad Datu-Tawau, Kilometer 7 Jalan Lahad Datu-Sandakan dan di Kilometer 4 Jalan Lahad Datu–Tungku.

Advertisement