Anda di sini

Perancangan Alberts menjadi

DIKEPUNG: Penyerang Milorad Janjus cuba melepasi tiga pertahanan KL Sime Darby pada perlawanan Liga Super 2014 di Stadium Negeri kelmarin. Sarawak menang 3-0.

GOL!: Pemain import Sarawak Gabor Gyepes meraikan jaringan kedua pasukan Sarawak pada saingan Liga Super di Stadium Negeri di Stadium Negeri di Kuching kelmarin. Sarawak menang dengan 3-0. — Gambar Bernama

Sarawak catat kemenangan pertama selepas benam KL Sime Darby 3-0 di laman sendiri

KUCHING: Sarawak mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2014 dengan membenam KL Sime Darby 3-0 di Stadium Negeri kelmarin.

Kapten pasukan Joseph Kalang Tie meletakkan tuan rumah di hadapan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10.

Ia berpunca dari kesilapan pertahanan Sime Darby Muhammad Juzaili Samion yang memegang bola ketika dicabar Zamri Morshidi dalam petak penalti.

Aksi cemerlang Joseph bagaimanapun tidak lama apabila terpaksa diganti Akmal Rizal Ahmad Rakhli minit ke-15 kerana mengalami kecederaan.

Sarawak dihadiahkan sepakan penalti kedua setelah Zamri sekali lagi dikasari pertahanan lawan pada minit ke-45.

Pertahanan import Hungary Gabor Gyepes tidak mensia-siakan peluang tersebut bagi memastikan Sarawak selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Aksi di babak kedua semakin rancak dengan tuan rumah melancar serangan bertali arus ke arah pintu gol lawan.

Pada minit ke-65, Mohamad Rashid Aya yang masuk bagi menggantikan Akmal Rizal dijatuhkan kira-kira 11 meter dari gawang Sime Darby.

Penyerang dari Serbia Milorad Janjus tidak menghampakan lebih 20,000 penyokong yang membanjiri stadium dengan melengkapkan gol ketiga Sarawak hasil dari sepakan percuma tersebut.

Perlawanan turut menyaksikan beberapa insiden tegang berlaku antara kedua-dua pasukan.

Pada minit ke-81, dua pemain Sime Darby Juzaili dan Fahrul Razi Kamaruddin dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil.

Keputusan tersebut kekal hingga perlawanan tamat dan Sarawak kini melonjak ke kedudukan kelapan liga setelah mengharungi tiga perlawanan.

Ketua Jurulatih Robert Alberts cukup berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sambil berkata kemenangan kelmarin sangat penting bagi Sarawak.

“Kita bermain dengan baik dan layak untuk memenangi perlawanan ini,” beliau mengulas perlawanan tersebut.

“Ia kemenangan pertama Sarawak dalam saingan liga dan cukup penting bagi memastikan kita terus memberikan cabaran kepada pasukan lain selepas ini.”

Saingan Liga Super berehat selama lapan hari bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA di mana Sarawak akan menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa depan (4 Februari).