Anda di sini

Pendidikan asas utama pembangunan dan kegemilangan sesebuah negara

Advertisement

GUNA SEBAIK MUNGKIN: Razaili menyampaikan wang bantuan kepada salah seorang pelajar semasa berlangsungnya majlis berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN: Bidang pendidikan merupakan asas utama pembangunan dan kegemilangan sesebuah negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor.

Beliau berkata pada era ini, persaingan hidup memerlukan setiap warganegara memiliki tahap pendidikan yang tinggi agar menepati piawai global seterusnya mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat luar atau komuniti global.

“Oleh itu, untuk memastikan anak-anak dan masyarakat kita berada pada tahap global tersebut, inovasi dan pembangunan pendidikan sering diberi penekanan dari tahun ke tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada 500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin dekat Betong baru-baru ini.

Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya kecemerlangan dan kejayaan yang dicapai oleh para pelajar bukanlah sesuatu yang datang dengan sendirinya tanpa adanya bimbingan dan didikan para guru.

“Usaha gigih dan tekun para guru, tidak boleh kita anggap sebagai bidang pekerjaan semata-mata kerana tugas mereka lebih daripada itu.

“Bagi kita orang luar yang berada dalam lingkungan sekolah atau ibu bapa, guru ialah pengajar tetapi sebenarnya, tugas mereka bukan setakat mengajar.

“Ini kerana merekalah orang yang mendidik anak-anak dengan kemahiran-kemahiran lain seperti bergaul, berkomunikasi, nilai-nilai etika dan norma hidup bermasyarakat agar anak-anak ini dapat survival apabila keluar dari kawasan sekolah suatu hari nanti,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, usaha para guru dan pihak sekolah juga boleh menjadi kurang berkesan jika ibu bapa hanya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru semata-mata kerana ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang mereka perolehi di sekolah memerlukan pengukuhan daripada ibu bapa dan persekitaran rumah mereka.

“Sebenarnya, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang tersendiri dalam mendidik anak-anak dengan memastikan anak-anak mereka mengulang kaji pelajaran semasa di rumah, memastikan anak-anak cukup dari segi keperluan asas, selamat, selesa dalam semua aspek kehidupan.

“Anak-anak yang mendapat kasih sayang dan keperluan yang mencukupi bukan sahaja mampu menempah kejayaan dalam hidup mereka malah, tidak mudah terjerumus dengan perkara-perkara yang tidak sihat seperti dadah, gam, lumba haram dan pelbagai gejala sosial lain,” tegasnya.

Advertisement