Anda di sini

Mangsa kebakaran dipindah ke flat kos rendah

Advertisement

Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Semariang Pinggir akan dipindahkan ke Taman Dahlia Matang

KUCHING: Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Semariang Pinggir baru-baru ini akan dipindahkan ke penempatan sementara di flat kos rendah yang terletak di Taman Dahlia Matang, dekat sini.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, kementeriannya bersama Kementerian Perumahan sedang membuat perincian maklumat mangsa-mangsa sebelum mereka dipindahkan dalam tempoh terdekat.

“Pihak Kementerian Perumahan telah mengenal pasti beberapa kekosongan di unit flat kos rendah di Taman Dahlia dan akan menempatkan tiga keluarga yang menjadi mangsa kebakaran baru-baru ini di sana sebagai penempatan sementara.

“Ia adalah usaha murni kerajaan kepada mangsa-mangsa yang baharu sahaja kehilangan kediaman untuk berteduh dan diharapkan usaha ini cukup untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Pada masa sama, Fatimah memberitahu, ia menjadi tanggungjawab mereka di kementerian untuk menyalurkan bantuan sesegera yang mungkin kepada mangsa-mangsa bencana.

“Kami berusaha untuk mendekati mangsa secepat mungkin dan menyerahkan bantuan bagi tujuan mereka menyambung kelangsungan hidup.

“Diharapkan dengan bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri kebiasaannya akan menyiasat segala maklumat tentang mangsa bencana secepat yang mungkin bagi memudahkan penyerahan bantuan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan daripada JKM di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana Kampung Semariang Pinggir di sini, semalam.

JKM menyampaikan sumbangan berupa wang sebanyak RM2,360 kepada mangsa-mangsa selain turut menyerahkan barang keperluan harian seperti makanan kering, pakaian harian serta perkakasan dapur.

Mangsa-mangsa yang menerima sumbangan itu ialah Abang Fauzi Kaderi, Abdul Rahman Hashim dan Abdul Rahim Marshad.

Orang ramai yang prihatin yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berjumpa terus dengan Ketua Kampung Semariang Pinggir Penghulu Mohd Zain Dris.

Hadir sama ialah Pengarah JKM Negeri Abang Shamsuddin Abang Seruji serta Penolong Pengarah JKM Negeri Mordiah Sulaiman.

Advertisement