Anda di sini

Lima jam tarik buaya 16 kaki ke pangkalan feri

Advertisement

DIPINDAH: Petugas SWAT Jabatan Hutan Sarawak memindahkan buaya yang ditangkap di Sungai Merah.

SEBUYAU: Seekor buaya sepanjang 16 kaki ditangkap dan dipindahkan dari Sungai Merah berhampiran Batang Lupar oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan bantuan penduduk rumah panjang.

Pasukan itu mengambil masa selama lima jam untuk menarik buaya berkenaan ke pangkalan feri Sungai Beliong.

Buaya berkenaan dipindahkan ke Jong’s Crocodile Farm kerana penempatan semula bukan pilihan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Urusan JHS Datu Ali Yusop berkata buaya mempunyai naluri tempat tinggal yang sangat hebat.

“Jika kita memindahkannya ke kawasan lain, peluang untuknya kembali ke kawasan ini tinggi malah menceroboh ke dalam kampung. Kebimbangan utama kita ialah keselamatan orang awam.

“Dengan mengambil langkah menjauhkannya dari kawasan yang berkepadatan penduduk dan sungai utama, kami berharap ia dapat mengurangkan konflik antara buaya dan manusia,” ujarnya.

Beliau menambah, pengwujudan Zon Bebas Buaya (CFZ) antara banyak inisiatif diambil JHS untuk mengekalkan keseimbangan sihat antara manusia dan buaya.

“Tindakan memindahkan buaya ini adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai,” jelasnya sambil menambah buaya merupakan haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Tindakan memburu dan membunuh buaya hanya dibenarkan dengan lesen sah daripada kontroler hidupan liar.

Sehubungan itu, JHS menasihati penduduk di Sungai Merah agar menggunakan kaedah pagar di kawasan sungai berkenaan terutama lokasi sering melakukan aktiviti domestik mereka.

Pagar itu katanya akan berperanan sebagai sempadan antara manusia dan buaya bagi menghalang reptilia berkenaan memasuki wilayah manusia.

JHS katanya, akan terus memantau kawasan berkenaan dan menggesa orang ramai membuat laporan jika melihat kelibat pemangsa itu kepada agensi bertanggungjawab.

Advertisement