Anda di sini

Lapor jika tidak dilayan polis: Pauzi

Advertisement

TAHNIAH: Pauzi (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Koperal Johna Julius Intai atas perkhidmatannya yang cemerlang.

Banyak aduan berhubung ketidakpuasan hati terhadap layanan polis

KUCHING: Masyarakat berhak melaporkan terus kepada pihak atasan sekiranya tidak dilayan dengan baik ketika berurusan di mana-mana balai polis.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang yang menambah bahawa beliau telah banyak menerima aduan berhubung ketidakpuasan hati terhadap layanan yang diberikan oleh anggota polis yang bertugas.

Justeru katanya, melalui aduan sedemikian, sekurang-kurangnya akan memudahkan pihaknya mengambil tindakan bagi memastikan amalan etika kerja yang berdisiplin dan berintegriti di kalangan anggota.

“Orang awam adalah pelanggan kita dan seharusnya kita sentiasa menyumbang kepada pembangunan masyarakat kerana kepentingan orang awam adalah amanat kita.

“Misalnya cara bercakap, janganlah kita berkasar atau meninggikan suara dengan mereka (orang awam), kita perlu bertenang dan yang penting kita perlu jaga imej organisasi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perjumpaan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Kota Sentosa di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota yang didapati bersalah.

“Sebagai contoh, ada anggota yang enggan menerima report (laporan) dan meminta pengadu pergi ke balai polis lain dengan alasan kes berlaku bukan di kawasan mereka.

“Untuk makluman, report boleh dibuat di mana-mana balai polis walaupun kes berlaku di Semenanjung Malaysia, sebab tidak mungkin kita nak suruh mereka pergi ke Semenanjung untuk buat report.

“Jika masih ada lagi aduan seumpama itu selepas ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib,” tegas Pauzi.

Pauzi sementara itu turut memberitahu bahawa indeks jenayah untuk IPD Padawan setakat bulan Januari ini masih menunjukkan penurunan.

“Setakat Januari tahun ini, kadar indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 25.47 peratus dan saya harap kita akan berusaha memastikan ia akan terus menurun pada masa akan datang,”katanya.

Pauzi dalam majlis tersebut turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 23 anggota dan pegawai yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang.

Advertisement