Anda di sini

Elektrik: DAP Sibu sasarkan kumpul 30,000 tandatangan

Advertisement

KUMPUL: Wong (kanan) bersama Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling serta ahli-ahli DAP yang lain ketika mendapatkan tandatangan daripada orang ramai.

SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sibu menyasarkan untuk mengumpul 30,000 tandatangan daripada orang ramai sebagai tanda sokongan kepada Kempen Polisi Elektrik Yang Lebih Adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan David Wong berkata, DAP Sarawak juga menyasarkan sebanyak 100,000 tandatangan di seluruh negeri.

Kempen itu katanya, bertujuan menyeru kerajaan dan Syarikat SESCo Berhad (SEB) menurunkan tarif elektrik sebanyak 30 peratus.

“Ini kerana SESCo memperolehi keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Pada 2012, keuntungan sebelum cukai SESCo adalah RM266.6 juta dan keuntungan itu datang daripada tarif elektrik yang tinggi yang kita semua bayar,” ujarnya ketika hari pertama kempen di Pasar Sentral Sibu, semalam.

Menurut Wong, tandatangan itu merupakan langkah pertama bagi memastikan penduduk Sarawak tidak mengalami apa yang dialami oleh penduduk di Semenanjung Malaysia.

Katanya penduduk di Semenanjung Malaysia tidak hanya terjejas akibat kenaikan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi juga disebabkan kenaikan harga minyak, tol, gula dan sebagainya.

“Oleh itu, 100,000 tandatangan ini adalah untuk memberitahu kerajaan yang rakyat sedang menderita berikutan kejatuhan ekonomi dan kenaikan harga barang,” jelasnya.

Sehubungan itu, Wong merayu sokongan daripada penduduk Sarawak untuk menjayakan kempen tersebut.

“Kerajaan hanya akan mendengar suara rakyat dengan kempen seperti ini. Selepas berjaya mengumpul 100,000 tandatangan, kami akan membawanya ke Dewan Undangan Negeri,” ujar Wong.

Beliau juga memberitahu, sejumlah lebih 300 tandatangan telah diperolehi dalam masa dua jam kempen di Pasar Sentral Sibu, semalam.

“Sambutan yang diterima agak baik daripada semua kaum,” katanya sambil menambah DAP menyasarkan mengumpul 100,000 tandatangan dalam masa tiga bulan.

Advertisement