Anda di sini

BN mampu raih majoriti dua pertiga pada PRN11

Advertisement

SIBU: Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) akan datang dengan pelbagai strategi yang telah dirancang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman yang menyuarakan keyakinan itu memberitahu, BN tidak bimbang dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mengimpikan Sarawak.

“Penting bagi semua parti komponen BN untuk bekerja lebih keras dan tidak berpuas hati kerana kita tahu pihak pembangkang akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan mereka di Sarawak.

“Namun kita perlu bekerja keras dengan impian kita untuk mengekalkan Sarawak dengan majoriti dua pertiga,” ujar Daud yang juga ADUN Tupong kepada pemberita, kelmarin mengenai Impian DAP Sarawak.

Menurut Daud, DAP telah bercakap mengenai pelbagai impian sejak beberapa tahun lepas, termasuk di peringkat persekutuan di mana mereka berpendapat dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

Ditanya sama ada BN akan dapat mempertahankan semua kerusi luar bandar, beliau memberitahu tiada sebab mengapa BN boleh kalah.

“Berdasarkan pengalaman kita semasa pilihan raya parlimen yang lepas, kita tidak pernah tewas di kerusi luar bandar. Oleh sebab itu, tiada sebab mengapa kita boleh tewas,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, isu kecil atau remeh-temeh membabitkan penduduk luar bandar perlu diselesaikan terlebih dahulu memandangkan mereka ini merupakan penyokong kuat BN.

Menyentuh mengenai pemikiran pengundi muda, Daud berkata beliau kurang pasti dengan pemikiran golongan terbabit.

“Akan tetapi berdasarkan pilihan raya yang lepas, pengundi muda Bumiputera adalah bersama dengan kita,” katanya sambil menambah pengundi muda di sini tidak terpengaruh dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Advertisement