Anda di sini

Anggota JPAM maut kemalangan

Advertisement

Seorang anggota trafik sedangan memeriksa motosikal yang ditunggang mangsa dalam kejadian yang berlaku selasa lalu.

LAHAD DATU: Hasrat seorang lelaki yang ingin menyambut ulangtahun lahirnya bersama isteri tidak kesampaian apabila terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 20, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, petang Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, mangsa seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dikenali sebagai Juser Astawie, 47, dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mendapat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat ketika dihubungi berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada mangsa yang menunggang motosikal jenis Kriss Modenas bersendirian sedang dalam perjalanan dari arah Kg Bakapit menuju ke bandar Lahad Datu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di lorong yang bertentangan.

“Impak daripada kemalangan itu, kita percaya mangsa tersembam ke permukaan jalan hingga mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jelasnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Advertisement