Anda di sini

25 projek pelaburan diluluskan di SCORE: Abg Jo

Advertisement

WAKILI KM: Abang Johari yang mewakili Taib hadir pada Majlis Penutupan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di Kuching, semalam. — Gambar Chimon Upon

Ia melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM37.4 bilion dan menawarkan 18,000 peluang pekerjaan

KUCHING: Sebanyak 25 projek pelaburan telah diluluskan di kawasan SCORE sejak pelancarannya pada 11 Februari 2008, yang melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM37.4 bilion dan menawarkan 18,000 peluang pekerjaan.

Menurut Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, enam daripada jumlah projek tersebut telah beroperasi, dua projek dalam fasa pembangunan dan tiga projek dalam fasa penyediaan tapak.

“Ini bermakna, 11 projek telah direalisasikan di kawasan SCORE dengan jumlah pelaburan sebanyak RM18.8 bilion dan dijangka membuka 9,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap bagi mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Majlis Penutupan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Ahmad Maslan dan Pengarah Unit Perancang Negeri, Jabatan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PENA Peringkat Negeri Sarawak Datu Ismawi Ismuni.

Justeru, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan menyifatkan kejayaan tersebut menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap usaha kerajaan untuk menyediakan iklim pelaburan yang kondusif seperti kemudahan asas, infrastruktur jalan raya, pelaburan, lapangan terbang, utiliti dan estet perindustrian yang memenuhi keperluan para pelabur.

“Kemasukan para pelabur ini juga akan membuka peluang perniagaan kepada industri sokongan khususnya sektor perkhidmatan dan pembekalan yang dapat diceburi oleh pelabur tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana.

“Oleh yang demikian, pelaksanaan SCORE amat penting dalam konteks pembangunan negeri Sarawak dan akan memacu serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2020,” katanya.

Beliau menambah, SCORE juga akan membuka peluang yang besar kepada rakyat negeri ini dari segi pekerjaan dan perniagaan serta berupaya untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

Advertisement