Anda di sini

Sarawak tekad tawan Perlis

Gabungan atlet kebangsaan, baharu diyakini mampu kekalkan pencapaian cemerlang

KUCHING: Skuad boling Sarawak bertekad untuk mengulangi pencapaian cemerlang pada SUKMA XVII yang akan diadakan di Perlis pada 24 Mei hingga 4 Jun 2014.

Pengurus Pasukan Regi­nald Walter Angkas melihat gabungan atlet kebangsaan dan baharu bakal memben­tuk sebuah pasukan mantap yang diyakini mampu mem­beri cabaran kepada pasukan lain.

“Kita sudah menyenaraikan 20 atlet bayangan lelaki dan wanita yang turut merang­kumi sembilan atlet lama yang pernah bersaing pada SUKMA 2012 di Pahang,” katanya semalam.

“Mereka akan ditapis se­mula di mana kita akan meng­hantar 12 atlet ke Perlis.”

Reginald berkata skuad negeri kali ini diperkuatkan oleh tujuh atlet elit dan remaja kebangsaan.

“Atlet elit dan remaja ke­bangsaan sedang menjalani latihan di Kuala Lumpur. Mereka menjadi harapan utama kita untuk menyum­bang pingat pada temasya kali ini.”

Bagaimanapun, Reginald tidak menolak cabaran sengit dari negeri lain terutama dari Wilayah Persekutuan, Selan­gor dan Pulau Pinang.

Menurut Reginald, skuad akan mengikuti pertandingan boling antara negeri bertem­pat di Kuala Lumpur pada bu­lan April sebagai pendedahan untuk atlet.

Selain itu, kontinjen turut merancang untuk mengikuti pertandingan di luar negara sebagai persiapan terakhir juga pada April namun tempat masih belum diputuskan.

20 atlet bayangan skuad bol­ing ialah Jonathan Ding Sagan, Daniel Tan Yan Han, Muhd Syafiq Sajeli, Christopher Tiong Lee Siong, Chong Jun Foo, Mohd Uzair Irsyad, Razif Safini, Melvin Gilbert Gi­mang, Ryan Lanyu Reginald dan Jee Jerry Hii (lelaki).

Manakala atlet wanita ialah Nerosha Keligit, Nadine Kong, Jocelyn Judith Jonath­an, Jackelyn Ng Shuk Chuen, Nur Syafiqah Sajeli, Nur Aina Kamalia Ayub, Jacelyn Ng Shuh Wun, Dayang Aida Natasha Jamalidon, Cher­fenny Layun Parag dan Nur Shamimi Sazali.

Sementara itu, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin yang mengadakan la­watan ke atas skuad boling di Megalanes Adventure World semalam berharap Sarawak mampu memberikan cabaran pada SUKMA XVII.

Ujarnya, ia satu kejayaan yang cukup membanggakan sekiranya skuad negeri ber­jaya mengulangi kejayaan muncul juara keseluruhan seperti dilakar pada SUKMA 2010 di Melaka.

Skuad boling merangkul dua emas, tiga perak dan dua gangsa pada SUKMA 2012 di Pahang untuk meletakkan pasukan lelaki muncul naib juara keseluruhan.