Anda di sini

Rogol: Mahkamah tambah hukuman terhadap jurukimpal

Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang jurukimpal yang sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol seorang pelajar berumur 15 tahun, semalam dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan hukuman itu selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan M.Retnam, 33, dipenjara tujuh tahun dan tiga sebatan Julai tahun lepas.

Beliau memerintahkan Retnam menjalani hukuman bermula tarikh jatuh hukum yang ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 3 Julai 2013.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata hukuman terhadap tertuduh tidak mencukupi berdasarkan fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Hukuman awak adalah ringan. Sepatutnya awak didakwa dengan empat pertuduhan berbanding satu pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

“Setelah membaca rekod rayuan khususnya fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan serta penghujahan bertulis, keputusan hakim Mahkamah Sesyen diketepikan,” katanya.

Retnam didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan hutan berdekatan Maktab Rendah Sains MARA Pondok Upeh, Balik Pulau dekat sini, pada jam 2.30 petang, 1 Mac dua tahun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku dirinya sebagai seorang anggota polis dan menunjukkan kad berwarna biru putih dengan lambang Polis Diraja Malaysia kepada mangsa dan kawan lelakinya sebelum meminta kad pengenalan mereka.

Bagaimanapun, mangsa dan kawan lelakinya tidak membawa kad pengenalan dan tertuduh menyuruh kawan lelaki mangsa pulang ke rumah untuk mengambil kad pengenalan.

Setelah kawan lelaki mangsa pulang, tertuduh mengeluarkan pisau dan mengacukannya ke leher mangsa sebelum membawa mangsa menaiki motosikal ke kawasan hutan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Siti Fatimah Talib dan tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement