Anda di sini

RM103,600 diesel subsidi dirampas

Advertisement

Premis di Piasau dijadikan stor sebelum minyak dijual kepada industri

MIRI: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri di sini berjaya merampas sejumlah 37,000 liter minyak diesel bersubsidi yang bernilai RM103,600 dari sebuah premis di Taman Perindustrian Piasau di sini, semalam.

Serbuan ke atas premis berkenaan dilakukan pada jam 8.30 pagi diketuai oleh Inspektor Dunsmore Intih selepas melakukan risikan sejak beberapa hari lalu hasil maklumat awam.

Polis turut merampas dua tangki minyak serta 10 tangki kumbahan yang digunakan bagi menyimpan bahan bakar tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, ia adalah rampasan pertama di sini yang membabitkan penyeludupan diesel pada tahun ini dan dipercayai dilakukan oleh sebuah sindiket, bagi mendapatkan keuntungan jangka pendek.

“Berikutan itu, seorang penjaga premis berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan dokumen yang disahkan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang membolehkannya menyimpan diesel berkenaan.

“Kita percaya minyak diesel itu dipercayai dibeli di beberapa stesen minyak di sekitar bandar ini menggunakan kenderaan yang dilengkapkan dengan tangki minyak yang sudah diubah suai sebelum disimpan premis berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Bagaimanpun, beliau berkata, tiada kenderaan dirampas atau ditemui di sekitar premis terbabit.

Premis tersebut, katanya, telah dijadikan sebagai stor menyimpan diesel bersubsidi sebelum ia dipercayai dijual kepada pihak industri bagi meraih keuntungan kerana ia boleh dibeli pada harga yang murah.

Katanya, kes berkenaan akan diserahkan kepada pihak kementerian berkaitan untuk tindakan lanjut.

Advertisement