Anda di sini

PPM rampas 6,000 liter petrol

Advertisement

 Dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran

KUDAT: Hasrat seorang lelaki warga asing menyeludup keluar 6,000 liter minyak petrol bersubsidi ke negara jiran akhirnya membawa padah selepas ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Kampung Pengaraban, dekat sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, dalam serbuan bersempena Ops Paradise kira-kira jam 3.30 petang itu, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot pam yang dinaiki seorang lelaki dan dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

“Sebaik pemeriksaan dilakukan, kita menemui 30 tong berisi minyak petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara Filipina melalui perairan terbabit.

“Kita juga menahan seorang suspek lelaki yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan maklumat awal, nilai rampasan termasuklah empat buah enjin pam, minyak petrol subsidi dan bot terbabit mencecah RM43,800,” katanya di sini kelmarin.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di perairan Kudat untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibendung.

Advertisement