Anda di sini

Penunggang motosikal sepatutnya guna lorong pertama lebuh raya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata mengikut undang-undang lebuh raya, penunggang motosikal sepatutnya berada di lorong pertama sahaja.

Beliau berkata bagi memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan syarikat konsesi lebuh raya semalam diarah memasang papan tanda mengenai perkara itu.

“Kita mahu penunggang motosikal menggunakan undang-undang lebuh raya di mana penunggang motosikal sebenarnya tidak dibenarkan menggunakan lorong laju.

“Tapi masalah dengan penunggang motosikal ini kadang-kadang telah melewati batas apabila mereka menggunakan lorong yang kedua dan ketiga,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat kebangsaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2014 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini semalam.

Katanya kementerian juga akan memperbanyak lorong motosikal memandangkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ops Tahun Baharu Cina 2013 menunjukkan penunggang motosikal masih menjadi kumpulan tertinggi maut atas jalan raya sepanjang operasi iaitu sebanyak 56.2 peratus.

Beliau menyarankan penunggang motosikal yang menuju ke destinasi jauh agar menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api atau bas ekspres.

“Saya difahamkan tiket-tiket bas ekspres masih ada dijual lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Aziz menggesa semua syarikat pengangkutan mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan JPJ dalam usaha memastikan perkhidmatan awam seperti bas ekspres pada musim perayaan terjamin.

Katanya, menurut peraturan SPAD, pemandu bas ekspres tidak dibenarkan memandu melebihi lapan jam dan mereka perlu mendapat kelulusan suruhanjaya itu seperti yang telah ditetapkan.

Selain itu, syarikat-syarikat pengangkutan juga diingatkan supaya membayar gaji kepada pemandu bas mengikut jumlah perjalanan yang dilakukan, katanya.

“Sesiapa (syarikat) yang melanggar peraturan, lesen akan ditarik. Pihak kerajaan dan SPAD amat serius mengenai pematuhan peraturan yang telah disediakan,” katanya.

Sementara itu, Ab Aziz menasihati pengguna jalan raya yang mahu guna kenderaan sendiri dapat membuat perancangan rapi secara menyeluruh seperti berada dalam keadaan sihat dan segar terutama yang akan memandu pada waktu malam. — Bernama

Sempena kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, sebanyak 1,800 kakitangan JPJ dengan bantuan 500 sukarelawan Skuad Muda 1JPJ ditempatkan di 157 lokasi ‘hotspot’.

Sepanjang Ops Tahun Baharu Cina yang lepas, jumlah kematian meningkat sebanyak 15.48 peratus iaitu 194 kematian berbanding 168 kematian pada 2012 manakala kemalangan maut meningkat 14.19 peratus dengan 177 kemalangan maut berbanding 155 pada 2012. — Bernama

Advertisement