Anda di sini

Pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa harus bersama didik kanak-kanak

Advertisement

KUCHING: Usaha mendidik kanak-kanak harus dilakukan bersama oleh pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa bagi melahirkan kanak-kanak yang sentiasa berdaya saing.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata perkara itu juga mampu membantu kerajaan melaksanakan program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun lepas.

“Buat masa sekarang, persaingan di kalangan pelajar semakin sengit.

“Tidak kira apa bangsa sekalipun apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menjadi yang terbaik daripada kalangan yang memang sudah terbaik.

“Pembangunan modal insan negara secara formal dan tidak formal perlu dijalankan awal dari peringkat akar umbi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan dan Perasmian Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Datuk Haji Mohammed di Taman Malihah, Matang semalam.

Beliau turut menambah bahawa modal insan yang berakhlak mulia juga akan menjamin negara kekal dalam keadaan yang harmoni dan sentiasa makmur.

Sementara itu, menyentuh tentang permintaan sekolah untuk mempunyai tempat letak kereta yang lebih besar dan kantin yang lebih baik, Fadillah memberi jaminan bahawa peruntukan tambahan akan disalurkan kepada sekolah pada tahun ini.

“Pihak sekolah telah mengemukakan laporan dan apa yang akan dilakukan adalah berkemungkinan kementerian saya akan berikan RM100,000 untuk menyelesaikan masalah naik taraf kemudahan di sekolah ini.

“Tetapi kita perlu berurusan dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan perkara ini nanti,” katanya.

Sekolah yang mempunyai sejumlah 1,080 pelajar dalam darjah satu hingga enam juga mempunyai tiga kelas prasekolah dan empat kelas khas untuk kanak-kanak di bawah program KBAT.

Dengan sejumlah 80 guru dan kakitangan pengurusan sekolah, 10 daripada guru telah dipertanggungjawab di bawah Kementerian Pelajaran dan DPN Inovasi Malaysia (AIM) i- THINK’ untuk menjalankan program KBAT kepada pelajar.

Sebelum ini, sejak dilancarkan sebagai program rintis KPM pada 2011 di peringkat kebangsaan, pihaknya mempunyai lima tenaga pengajar KBAT dan lima lagi di peringkat sekolah daripada 80 tenaga pengajar semuanya.

Menurut sumber, KPM setakat ini menetapkan sasaran untuk mencapai 10,000 sekolah di seluruh negara menyertai KBAT.

Program berkenaan bertujuan melatih murid-murid akan kemahiran berfikir aras tinggi bagi menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan pelajar yang kreatif dan berinovatif.

Ia dikatakan juga bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 nanti.

Sehingga 2013, pihak KPM mencatat lebih 500 sekolah sahaja yang telah berjaya menyertai program KBAT.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.iTHINK.org.my.

Turut hadir Guru Besar SK Tan Sri Datuk Haji Mohammed Hasbi Sahmat dan Penyelaras Kebangsaan sekolah itu Harunoor Ismail.

Advertisement