Anda di sini

Nelayan hilang dikhuatiri lemas

Advertisement

PAPAR: Seorang nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas keluar memancing ikan di Pulau Dinawan, dekat sini.

Mangsa, lelaki tempatan dan dikenali sebagai Rony Salleh, 38, dari Kampung Laut Kinarut itu dikatakan hilang selepas didapati tidak pulang sehari selepas kejadian.

Bimbang perkara buruk terjadi, ahli keluarga mangsa kemudiannya bertindak melaporkan insiden itu kepada pihak polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Papar Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada jam 12.35 tengahari sebelum sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

“Operasi gerakan mencari dan menyelamat terus dijalankan di sekitar mangsa pergi memancing di sekitar Pulau Dinawan.

“Bagaimanapun, sehingga lewat petang kelmarin, mangsa belum dapat ditemui dan kita akan menyambungnya pada esok,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurutnya, laporan awal mendapati mangsa keluar memancing ikan di Pulau Dinawan seorang diri kira-kira jam 4 pagi Isnin lalu.

“Tetapi sehingga kini mangsa belum pulang. Ahli keluarga kemudiannya membuat laporan polis.

“Difahamkan, mangsa bekerja sebagai nelayan sepenuh masa,” katanya.

Operasi terbabit turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Unit Udara PDRM.

Advertisement