Anda di sini

Kes kemalangan Genting Highlands: Kaedah pemeriksaan PUSPAKOM longgar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan mendapati kaedah pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) terhadap bas yang terlibat dalam nahas di Genting Highlands pada 21 Ogos lepas, adalah longgar.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammddin Tun Hussein berkata dokumen teknikal seperti Prosedur Operasi Standard (SOP), peraturan, undang-undang dan panduan teknikal yang digunakan dalam pemeriksaan kenderaan sebagai rujukan juga tidak dikemas kini dan tidak dimaklumkan secara jelas kepada orang ramai dan pihak berkepentingan.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata panel juga mendapati wujud kelemahan kaedah yang dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dalam memberi kelulusan lesen operasi perkhidmatan kenderaan awam.

“Dalam konteks ini, SPAD meluluskan lesen operasi kenderaan tanpa mengambil kira keperluan spesifik tertentu seperti keadaan persekitaran jalan raya yang berbukit dan kapasiti penumpang berdiri yang dibenarkan untuk bas henti-henti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan laporan panel penasihat bebas itu oleh pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye di Kementerian Pertahanan di sini semalam.

Dalam nahas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas yang dianggap terburuk di negara ini, 37 orang terbunuh manakala 16 lagi cedera.

Hishammuddin berkata selain itu, panel juga mendapati berlaku kelemahan komunikasi dan penyelarasan antara empat agensi iaitu Jabatan Kerja Raya, SPAD, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia misalnya dalam soal kelulusan terhadap kenderaan, jumlah penumpang yang dibenarkan dalam bas, sistem senarai hitam dan permit kenderaan.

Berdasarkan laporan itu juga, terdapat 20 cadangan penambahbaikan yang dikemukakan melibatkan 51 pelan tindakan bagi memperbaiki kelemahan praktis sedia ada, memastikan kemalangan serupa tidak berulang, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

“Dua puluh cadangan itu meliputi enam cadangan berkaitan aspek jalan raya, empat berhubung aspek kenderaan dan tiga aspek amalan operasi keselamatan.

“Empat cadangan pula menyentuh aspek tindakan menyelamat dan kecemasan serta tiga cadangan mengenai usaha memperkukuh peranan rakyat dalam soal keselamatan jalan raya,” katanya. — Bernama

 

 

 

Advertisement