Anda di sini

Kerajaan hargai usaha keras pegawai bantu urus pelbagai tugas kementerian

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri menghargai usaha keras para pegawai yang telah membantu menguruskan pelbagai tugas kementerian di negeri ini dan berharap keakraban yang terjalin berkekalan.

Begitulah harapan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais ketika meraikan tiga pegawai pada majlis makan malam yang diadakan di sini, kelmarin.

Para pegawai yang diraikannya semalam adalah bekas Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak Ishak Samdin, bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman serta bekas Ketua Bank Rakyat Wilayah Sarawak Azman Abdul Aziz yang tidak dapat hadir.

“Perpindahan mereka mungkin ke ibu pejabat di ibu negara atau negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia tetapi perhubungan antara kita harus diteruskan.

“Sejak mengenali ketiga-tiga pegawai ini, perhubungan saya dengan mereka setiap tahun semakin akrab dengan penganjuran banyak program yang dijalankan bersama,” katanya kelmarin.

Tambahnya, usaha SKM, Bank Rakyat dan KPDNKK dengan menganjur segala program amat jelas impaknya yang telah dan sedang dirasai oleh rakyat Sarawak sekarang ini.

“Tiga tahun yang lalu jumlah koperasi di Sarawak cuma 300 lebih, sejak beliau menjadi pengarah di sini kini SKM mendaftar 564 koperasi dengan 333,005 anggota dari seluruh Sarawak.

“Program kecil dan besar telah kita jalankan dan mendapat sambutan.

“Dengan KPDNK juga kita telah jalankan pada waktu harga barang memang hangat diperkatakan naik tetapi di Sarawak ia tidak naik sebagaimana di Semenanjung.

“Ia sebenarnya tidak akan berlaku sekiranya kita sentiasa bekerjasama dan mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Kerajaan negeri akan juga bekerjasama erat dengan para pegawai baharu yang telah ditugaskan ke sini bagi menggantikkan para pegawai terdahulu.

“Sarawak sebenarnya memang merupakan tempat yang mencabar untuk menjalankan tugas… untuk sampai sehingga ke Ba’Kelalan dan kawasan hulu Sarawak memerlukan kos yang tinggi.

“Pegawai kita mempunyai risiko ketika menggunakan ekspres, bas dan helikopter pada waktu cuaca yang tidak begitu mengizinkan.

“Nampak macam senang naik helikopter, tetapi sangat bahaya apabila sudah mencecah puncak antara gunung yang tertinggi di Sarawak,

“Helikopter akan bergegar kerana tekanan yang rendah dan ditambah lagi sekiranya angin dari Lawas meniup maka kadangkala ia bergantung kepada nasib.

“Masalah dan kemalangan berlaku pada masa kita tidak jangka,” tambahnya.

Cabaran itu katanya, tidak dapat hilang kerana kita tidak dapat mengubah Sarawak dalam sekelip mata.

Advertisement