Anda di sini

JTK Sabah catat peningkatan kendali kes buruh

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mencatat peningkatan berhubung jumlah kes buruh yang dikendalikan di Mahkamah Buruh dengan 1,624 kes berjaya diselesaikan tahun lepas.

Pengarah JTK Sabah Datuk Siti Aishah Mohd Asri berkata, kes yang berjaya diselesaikan itu melibatkan jumlah bayaran lebih RM1.8 juta.

Menurutnya, kes yang diterima tahun lepas adalah sebanyak 1,781 kes berbanding 1,340 kes yang diterima dan diselesaikan sepenuhnya tahun 2012.

Bagaimanapun katanya, pada 2012 jumlah bayaran kepada pengadu adalah hampir RM2.6 juta.

“Pembayaran yang dibuat adalah untuk tuntutan gaji ganti notis, baki gaji, bayaran kerja lebih masa, faedah bersalin, serta faedah penamatan kerja. Ia selaras dengan peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).

“Sejumlah 342 kes tuntutan Pampasan Pekerja di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 turut diterima dan diselesaikan dalam tahun 2013 dengan pembayaran pampasan berjumlah RM961,526.

“Ia diserahkan kepada pekerja yang mendapat kemalangan atau ditimpa kemalangan semasa dalam pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Di samping itu jelasnya, seramai 99 majikan dikenakan tindakan kompaun tahun lepas berbanding tindakan kompaun dalam tahun 2012.

Siti Aishah berkata, 23 majikan dikenakan tindakan pendakwaan berbanding 15 pada tahun 2012. Semua kes melibatkan perlanggaran pelbagai peruntukan di bawah perundangan perburuhan yang dikuatkuasakan di negeri Sabah seperti Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), Akta Pampasan Pekerja 1952 dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

“Dalam bidang Perkhidmatan Pekerjaan, JTK Sabah mendaftarkan seramai 23,226 orang pencari kerja di Sabah tahun lepas berbanding 14,225 orang pada tahun sebelumnya.

“Pada masa sama, sejumlah 140,553 kekosongan jawatan juga didaftarkan dan JTK Sabah berjaya menempatkan sejumlah 12,715 pencari kerja dalam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang perburuhan dan perkhidmatan pekerjaan adalah dua fungsi utama JTK Sabah.

Menurutnya, ia seiring dengan usaha untuk memastikan kebajikan para pekerja terpelihara dan penggajian pekerja tempatan diutamakan.

“Sehubungan itu, para majikan dan pekerja dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan perundangan perburuhan yang ditetapkan.

“Selain itu, para pencari kerja dan majikan yang mencari pekerja juga boleh hadir berurusan dengan Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan di Pejabat Tenaga Kerja terdekat atau melayari pautan Jobsmalaysia Centre melalui laman sesawang www.jobsmalaysia.gov.my.

Advertisement