Anda di sini

Jaga dipenjara kerana miliki senjata api, peluru hidup tanpa kebenaran

Advertisement

SIBU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman dua tahun penjara berserta enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memiliki senjata api dan peluru hidup tanpa kebenaran.

Nicholas Joseph Bujang, 30, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan sebelum menukar pengakuan kepada bersalah, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Nicholas didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 September, 2013, kira-kira jam 4 pagi di sebuah rumah di Batu 9, Jalan Oya.

Peguam bela tertuduh, Darren Ling memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu telah berkahwin serta mempunyai dua orang anak, masing-masing berusia setahun dan tujuh tahun.

Beliau juga memberitahu, Nicholas bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit dengan pendapatan RM900 sebulan.

“Senjata api dan peluru hidup itu adalah milik ayah tertuduh serta mempunyai lesen yang sah,” ujarnya sambil merayu hukuman ringan terhadap anak guamnya. Darren menambah, Nicholas membawa senjata api itu bagi mempertahankan diri ketika bertugas di ladang kelapa sawit terbabit.

“Pada pagi kejadian, berlaku pencerobohan oleh pihak yang tidak dikenali dan beberapa barang telah dicuri menyebabkan tertuduh mengejar penceroboh terbabit.

“Malangnya dalam kejadian itu, seorang pekerja ladang warganegara asing di mana tertuduh bekerja telah ditembak mati oleh penceroboh. “Oleh itu, tertuduh terpaksa lebih berhati-hati dan memerlukan senjata api terbabit bagi melindungi diri sendiri,” jelas Darren.

Advertisement