Anda di sini

Usaha melestari e-Kasih menerusi program jerayawara diperhebat

Advertisement

BASMI KEMISKINAN: Fatimah (tengah) bersama ahli-ahli kelab 4WD Bintulu pada pelancaran program itu semalam.

BINTULU: Usaha melestarikan e-Kasih menerusi program jerayawara diperhebatkan sebagai usaha memastikan pemimpin tempatan dan ketua kaum di peringkat akar umbi mendapat maklumat tepat dan mampu memberi maklum balas bagi penambahbaikan sistem e-Kasih.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata bagi tujuan itu kementeriannya melaksanakan projek printis ‘mobile team’ iaitu lawatan khusus pembasmian kemiskinan bersepadu bermula sejak tahun lalu melibatkan kawasan pedalaman yang sukar dihubungi.

Menurutnya, statistik menunjukkan program e-Kasih yang dilaksanakan di bawah projek ini berjaya mengenal pasti golongan miskin yang benar-benar memerlukan bantuan segera.

“Statistik diperolehi mencatatkan seramai 97,317 keluarga dikesan sebagai kategori miskin layak diberikan perhatian khusus bagi membantu mereka mengubah serta meningkatkan taraf hidup ke arah lebih baik,” katanya pada Majlis Pelancaran Kelab Cabaran Pacuan Empat Roda (4WD) di sini semalam.

Katanya melalui program ini terdapat seramai 27,180 dikategorikan miskin tegar, 29,918 (miskin), mudah miskin (12,032) manakala 28,187 terkeluar kategori miskin disebabkan faktor mendapat pekerjaan atau corak kehidupan ekonomi yang baik sekali gus mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Pada tahun ini, sebanyak tiga kawasan dikenal pasti bagi menjayakan program ‘mobile team’ iaitu Murum dan Belaga di bahagian Kapit dan juga Nanga Baoh, Mukah.

“Sehubungan itu, usaha pemutihan data e-Kasih sedia ada dilaksanakan secara berterusan dan sasaran kes untuk pemutihan data dibuat setiap tahun,” jelasnya.

Katanya pendekatan secara ‘mobile team’ dilaksanakan dari semasa ke semasa memandangkan program sedemikian sesuai untuk kawasan pedalaman negeri ini.

Fatimah turut mengucapkan syabas kepada Kelab Cabaran 4WD Bintulu yang sanggup bekerjasama dengan kementeriannya bagi menjayakan program ‘mobile team’ di samping melakukan kerja amal bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan adanya kerjasama semua pihak secara tidak langsung akan menjayakan program 1AZAM yang merupakan satu-satunya pendekatan terbaik pada masa sekarang bagi membantu penduduk yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir.

Advertisement