Anda di sini

Tiada tangkapan, rampasan, saman direkod dalam Operasi Bersepadu IPD Padawan

Advertisement

KUCHING: Tiada sebarang tangkapan, rampasan mahupun saman direkodkan dalam Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan yang dijalankan dari jam 10 hingga 12.30 malam kelmarin.

Antara operasi yang dijalankan ialah sekatan jalan raya di Jalan Batu Kawa dan Jalan Matang serta pemeriksaan di premis hiburan dan pusat urut di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC).

Mengetuai operasi ialah Ketua Polis Daerah Padawan Superintwndwn Pauzi Bujang dan melibatkan 11 pegawai serta 60 anggota IPD Padawan termasuk 12 pegawai Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Menerusi sekatan jalan raya, sebanyak 63 kenderaan dan 51 motosikal telah diperiksa dengan melibatkan 197 individu.

Manakala dalam pemeriksaan yang dilakukan ke atas enam premis, enam lelaki telah dijalankan saringan air kencing tetapi dilepaskan selepas kesemuanya didapati negatif bahan terlarang.

Justeru, Pauzi menyifatkan kadar jenayah di kawasan Padawan adalah terkawal.

“Terdapat penurunan yang ketara dalam indeks jenayah di kawasan Padawan seperti kes pecah rumah, kecurian motosikal dan kenderaan,” katanya ketika ditemu bual pemberita di sini sempena pelancaran Operasi Bersepadu IPD Padawan, kelmarin.

Sementara sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Pauzi menasihati masyarakat di kawasan MPP supaya memantau keadaan rumah masing-masing untuk mengelakkan berlakunya pecah rumah.

“Kawasan MPP adalah amat luas dan sukar untuk polis menjalankan rondaan di segenap tempat.

“Maka, semua masyarakat dikehendaki sentiasa memantau keadaan rumah masing-masing dan bukannya berharap sangat kepada rondaan daripada pihak polis.

“Bagaimanapun, sesiapa yang hendak meninggalkan rumah dalam keadaan kosong dikehendaki melaporkan kepada balai polis berdekatan bagi membolehkan rondaan dilakukan ke kawasan berkenaan,” katanya.

Advertisement