Anda di sini

Soon Koh tidak hadiri Majlis Rumah Terbuka TBC SUPP Pusat

Advertisement

KUCHING: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh berkata, beliau tidak akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Pusat pada 31 Januari 2014.

Wong berkata pada hari yang sama beliau perlu menghadiri majlis sama yang diadakan oleh SUPP Sibu di Dewan Suarah Sibu dan ia merupakan tradisi saban tahun dilakukannya.

“Secara tradisinya, SUPP Sibu akan mengadakan majlis rumah terbuka sendiri pada hari pertama Tahun Baharu Cina.

“Jadi pemimpin-pemimpin, ketua masyarakat dan rakyat di Sibu akan menghadiri Rumah Terbuka SUPP Sibu,” katanya.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat merangkap Menteri Kewangan Kedua, berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah ahli-ahli majlis Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam.

Beliau menambah: “Selama ini kita (SUPP Sibu) mengadakan majlis rumah terbuka pada hari pertama Tahun Baharu Cina.”

Katanya, Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijadual menghadiri Rumah Terbuka TBC SUPP Sibu pada 2 Februari 2014.

Sebelum ini SUPP pusat dalam satu kenyataan akhbarnya memberitahu bahawa Majlis Rumah Terbuka TBC akan diadakan di ibu pejabat parti di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui pada 31 Januari 2014.

Tun Salahuddin dan Taib dijadual tiba pada majlis itu sekitar jam 10 pagi.

Rumah terbuka yang dianjurkan bersama bahagian Pemuda dan Wanita Pusat turut dibuka kepada orang ramai bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Advertisement