Anda di sini

Sarawak akan lawat China mantap pembangunan sukan negeri

Advertisement

LEE KIM SHIN

KUCHING: Sarawak akan mengadakan lawatan sambil belajar ke China untuk menumpukan pembangunan sukan yang dijangka diadakan selepas Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis nanti.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata ia akan melibatkan lawatan ke universiti sukan, pusat sukan dan sekolah sukan di China yang mengkhususkan pembangunan sukan.

Menurutnya, antara tumpuan lawatan itu merangkumi sukan seperti badminton, renang, terjun, gimnastik dan pingpong.

“Kita berharap dapat membangunkan sukan-sukan ini yang merupakan kekuatan utama China.

“Banyak yang kita boleh belajar dari sana (China) memandangkan negara tersebut merupakan antara kuasa sukan dunia,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral China, Liu Quan di pejabatnya di sini semalam.

Lee berkata, untuk tujuan itu pihaknya akan memohon bantuan daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching bagi mengatur lawatan tersebut.

Sementara itu, Liu menjelaskan, kerjasama dalam bidang sukan antara Sarawak dan China akan terus mengukuhkan hubungan Malaysia- China.

“Ini merupakan asas penting untuk kepentingan kedua-dua pihak terutama dalam sukan, kebudayaan dan pelancongan,” ujarnya.

Kunjungan hormat itu turut merangkumi perbincangan mengenai penerbangan terus dari Miri ke Shenzen.

“Buat masa ini, kebanyakan penerbangan terus dari China adalah ke Kota Kinabalu yang mana pada masa ini agak sesak.

“Diharapkan ada penerbangan secara terus ke Miri dan saya percaya banyak permintaan,” katanya.

Advertisement