Anda di sini

Percepatkan pembinaan Balai Bomba Batu Niah

Advertisement

ROSEY

Projek di bawah Belanjawan 2014 itu perlu disegerakan

MIRI: Kerajaan persekutuan perlu mempercepatkan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah bagi memudahkan kes-kes kebakaran dipadam dengan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus berkata projek di bawah Belanjawan 2014 itu perlu disegerakan berikutan terdapat keperluan kemudahan itu di kawasan luar bandar.

“Kebanyakan kes kebakaran luar bandar tidak dapat diselamatkan berikutan kedudukan balai  bomba terlalu jauh dengan lokasi kebakaran dan kami memerlukan balai bomba di Niah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata pembinaan balai bomba bernilai RM12 juta itu diharapkan mampu menyelamatkan harta benda awam jika berlaku kebakaran.

“Kita memohon agar kerajaan memberi keutamaan kepada projek ini bagi memastikan kes-kes kecemasan dapat ditangani dengan segera dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kejadian kebakaran yang melibatkan dua rumah panjang di kawasan Niah baru-baru ini menjadi bukti akan keperluan pembinaan balai bomba.

“Mangsa hilang tempat bergantung dan kesemua harta benda tidak dapat diselamatkan.

“Sehubungan itu, agak wajar projek Balai Bomba Niah dilaksanakan segera,” ujarnya.

Pada masa sama, dua pasukan sukarelawan telah ditubuh masing-masing di Bekenu dan Niah bagi membantu mencegah kebakaran awal.

“Meskipun ada sukarelawan bomba ini, mereka tidak mampu menangani kebakaran yang lebih besar sebaliknya memerlukan pengalaman dan jentera daripada anggota bomba sendiri,” jelasnya.

Menurutnya, penduduk kampung dan rumah panjang perlu diberi latihan memadam kebakaran sebagai langkah awal pencegahan kebakaran.

Advertisement