Anda di sini

Penubuhan Unit Polis Syarie langkah bijak membendung kesalahan syariah

Advertisement

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman melihat pelan menubuhkan Unit Polis Syarie sebagai langkah bijak dalam usaha membendung kesalahan syariah.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk dari segi perundangan memandangkan terdapat pelbagai pendapat daripada masyarakat berhubung rancangan itu ketika ini.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai rancangan berkenaan.

“Tujuan JAKIM menubuhkan unit ini memang bagus dan saya sokong dalam usaha membendung kesalahan syariah.

“Namun sebelum ia ditubuhkan, banyak perkara perlu diambil kira termasuk dari segi perundangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan JAKIM untuk menubuhkan Unit Polis Syarie.

Baru-baru ini Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustafa dipetik sebagai berkata, penubuhan Unit Polis Syarie akan dimuktamadkan selepas perbincangan mengenai skop tugas dan bidang kuasanya selesai tidak lama lagi.

Menurutnya, perbincangan antara JAKIM, KDN dan PDRM akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menubuhkan unit itu secara berperingkat.

“Peringkat pertama penubuhan unit itu akan diketahui selewat- lewatnya minggu depan (minggu ini),” kata Othman.

Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, kementeriannya dan JAKIM akan bekerjasama menubuhkan Unit Polis Syarie sebagai langkah menyelesaikan penguatkuasaan dan perundangan Islam.

Unit itu katanya, akan dianggotai oleh anggota polis dan pegawai yang mempunyai kelulusan ijazah dan ijazah sarjana muda dalam bidang agama Islam.

Sementara itu, Daud meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana ia masih di peringkat perbincangan.

“Kita tunggu keputusan perbincangan antara JAKIM, KDN dan PDRM sama ada ia dilaksana atau tidak,” ujarnya.

Advertisement