Anda di sini

Mayat terakhir mangsa tragedi bot karam dijumpai

Advertisement

Mayat Mahdani Akim, 55, dijumpai di perairan Tanjung Balau, Batang Lassa, jam 11. 55 pagi semalam

MUKAH: Mayat mangsa terakhir yang terlibat dalam tragedi bot karam di Batang Lassa yang membawa 27 penumpang dijumpai penduduk kampung pagi semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Mahdani Akim, 55, dijumpai di perairan Tanjung Balau, Batang Lassa, jam 11. 55 pagi semalam.

Komander Operasi DSP Wagner Lisa Libut mengesahkan bahawa mangsa terakhir dijumpai empat kilometer dari tempat kejadian.

Wagner memberitahu, polis dihubungi pada jam 12.20 tengah hari semalam dan memberitahu bahawa mangsa terakhir telah dijumpai.

Katanya mangsa disahkan oleh ahli keluarga terdekat iaitu anak-anaknya sendiri dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Daro.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daro untuk dimandikan dan seterusnya dihantar ke kampung halamannya di Kampung Tekajong untuk upacara pengebumian petang ini (semalam),” katanya di sini semalam.

Kejadian pada 18 Januari lalu telah meragut 11 nyawa manakala 16 orang lagi terselamat.

Kejadian tersebut berlaku apabila rombongan pergi ke kenduri kahwin tersebut ingin berpatah balik selepas melihat keadaan air yang terlalu bergelora.

Apabila juragan bot dikenali sebagai Melajim Akim melihat keadaan air bergelora, dia terus membuat pusingan ‘U’ dan dengan tidak diduga bot yang dinaiki mereka terbalik.

Difahamkan mereka dalam perjalanan dari Kampung Saai ke Kampung Tekajong selepas menghadiri kenduri kahwin.

Mereka tidak menggunakan sebarang peralatan keselamatan seperti jaket dan bot yang dinaiki oleh mereka juga agak kecil.

Advertisement