Anda di sini

Malaysia hari ini terpesong daripada matlamat penubuhannya: Jeffery

Advertisement

KUCHING: Presiden Yayasan Warisan Borneo (BHF) Datuk Dr Jeffery G Kitingan mendakwa Malaysia hari ini terpesong daripada Malaysia yang dimahukan seperti yang dimeterai menerusi perjanjian penubuhan Malaysia antara Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Sabah dan Sarawak.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Dr Jeffery berkata rakyat Sabah dan Sarawak hari ini mula mempersoalkan mengapa dua negeri ini dilayan sebagai negeri yang ke-12 dan ke-13 bagi Malaya.

Mengapa Perjanjian Malaysia, khususnya Artikel 8, yang merujuk kepada janji-janji serta jaminan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak bagi merealisasikan penubuhan Malaysia tidak dilaksanakan.

“Semua ini (janji-janji dan jaminan yang diberikan) meyakinkan rakyat dan pemimpin-pemimpin kita untuk bersetuju membentuk Malaysia bahawa kita akan membentuk sebuah negara baharu dengan kerjasama yang sama rata.

“Menerusi Perkara 20, antara dokumen penting yang dijanjikan ialah Sabah dan Sarawak akan diperintah sendiri dan mengawal sendiri hasil sumber, kewangan serta rangkaian-rangkaian politik.

“Tetapi hari ini seperti yang anda sedia maklum, ia tidak lagi seperti itu, kita mendapati bahawa kita telah dilayan seperti salah sebuah negeri Malaya maksudnya Malaysia mengambil alih koloni British iaitu Sabah dan Sarawak daripada British ke Malaya,” katanya.

Dr Jeffery yang juga pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Cawangan Sabah menambah, jika kita melihat kepada kerajaan persekutuan hari ini ia merupakan sambungan daripada Persekutuan Malaya tetapi kini dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

“Satu daripada syarat penting dalam pembentukan Malaysia ialah penubuhan Perlembagaan Malaysia yang baharu.

“Tetapi apa yang berlaku tiada perlembagaan baharu Malaysia, ia hanya perlembagaan Malaya yang dipinda dan alasan mereka ialah tidak ada masa untuk memperkenalkan perlembagaan baharu.

“Mana boleh tidak ada masa apabila anda mahu menubuhkan sebuah negara baharu?

“Semua ini telah memesongkan Malaysia daripada apa yang kita mahukan ketika termeterainya perjanjian penubuhan Malaysia,” dakwa Dr Jeffery.

Advertisement