Anda di sini

Kerajaan ambil berat kebajikan pelajar

Advertisement

BERJIWA RAKYAT: Rohani (tengah) bermesra dengan penerima BKAP di SMK Beladin kelmarin.

Pelajar diingat agar guna wang BKAP sebagai wang saku beli peralatan persekolahan

BELADIN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengingatkan pelajar agar menggunakan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan (BKAP) sebagai wang saku membeli peralatan persekolahan mereka.

Menurutnya, pemberian itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan pelajar.

“Ini buktinya kerajaan mengambil berat tanpa mengira kedudukan rakyat termasuk anak-anak kita yang masih belajar di sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta,” katanya pada Majlis Penyerahan BKAP kepada 500 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin di sini kelmarin.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar mengharapkan agar wang bantuan itu dapat digunakan untuk membeli peralatan sekolah termasuk buku, kasut sekolah mahupun pakaian sekolah.

“Walaupun jumlah wang yang diberikan hanya RM100 untuk setiap pelajar tetapi nilainya cukup berharga kepada mereka kerana dapat meringankan beban ibu bapa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani turut mengingatkan rakyat di kawasannya agar tidak melepaskan peluang memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Tambahnya, tarikh akhir memohon bantuan itu ditetapkan pada 31 Januari ini dan pembayarannya bermula pada Februari depan.

“Justeru, saya mohon kepada rakyat agar tidak melepaskan peluang memohon bantuan ini kerana ia salah satu cara kerajaan meringankan beban rakyat.

“Kepada yang telah memohon bantuan ini pada tahun sebelumnya, anda hanya perlu mengemas kini permohonan melalui laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan memasukkan nombor akaun bank kerana bantuan ini akan disalurkan secara terus ke akaun anda,” jelasnya.

“Bukan setakat itu sahaja, pemohon baharu boleh mendapatkan borang di LHDN terdekat atau mengisi borang permohonan secara dalam talian,” ujarnya.

Dalam pada itu, mereka yang layak menerima bantuan itu adalah individu berkeluarga yang mempunyai pendapatan kurang RM4,000 layak mendapat bantuan RM650 manakala individu bujang menerima bantuan berjumlah RM300.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor serta ketua-ketua masyarakat.

Advertisement