Anda di sini

Kekurangan wanita sertai sektor membuat keputusan akan dikaji

Advertisement

ALBUM: Fatimah (depan, dua kanan) bergambar bersama Madeline (depan kanan) dan ahli PPWS selepas sidang media, semalam.

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga akan melakukan kajian terperinci mengenai kekurangan golongan wanita di negeri ini yang menyertai sektor membuat keputusan berbanding di Semenanjung Malaysia.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, kajian yang akan dilaksanakan oleh pengkaji daripada Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) itu bertujuan untuk mengkaji punca utama kekurangan itu.

“Sebanyak 12 peratus golongan wanita di negeri ini terlibat dalam sektor membuat keputusan berbanding 34 peratus di Semenanjung Malaysia.

“Justeru, dengan pelaksanaan kajian ini bermula minggu depan, kita dapat mengenal pasti punca permasalahan kekurangan ini sekali gus mengenal pasti solusi serta jalan penyelesaian kepada isu yang berkaitan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, pihaknya menyasarkan masa setahun sebelum kajian itu tamat dengan penyelesaian yang berguna untuk memperbaiki kekurangan peranan wanita dalam sektor membuat keputusan itu.

Sektor membuat keputusan yang menjadi pilihan golongan wanita ialah sektor pendidikan merangkumi jawatan guru besar, pengetua sekolah mahupun penolong kanan sekolah, ujarnya.

“Kajian ini diharapkan dapat diselesaikan dalam masa satu tahun dan sebelum ia dimulakan pada minggu depan, para pengkaji yang terlibat hendaklah menyediakan segala kelengkapan berupa terma rujukan untuk tujuan kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama barisan pengkaji daripada Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim serta ahli-ahli Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).

Tambahnya, kajian tersebut merangkumi dua tajuk utama iaitu ‘Kepimpinan Wanita di Sarawak’ dan ‘Wanita Sebagai Modal Insan dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak’.

Katanya, selain mengkaji peranan wanita dalam pelbagai sektor pekerjaan daripada aspek membuat keputusan sama ada kerajaan mahupun swasta, kajian itu juga membuka peluang kepada pengkaji untuk menyelesaikan pernyataan masalah bagi kedua-dua tajuk yang menjadi topik kajian.

“Antara pernyataan masalah yang digariskan dalam kajian ini ialah kebolehan Sarawak meletakkan bakat yang berkualiti dalam apa jua industri yang membantu kepada perkembangan SCORE.

“Pada masa sama, ia juga akan memastikan golongan wanita boleh serta akan menyertai keuntungan daripada SCORE melalui pekerjaan yang menguntungkan,” katanya.

Turut hadir Pengarah PKWTFH Profesor Madya Dr Madeline Berma.

Advertisement