Anda di sini

Kejohanan FIFA World Cup Miri 2014 pada 5 April depan

Advertisement

BAKAL MENGGEGAR: Poster kejohanan Fifa World Cup Miri 2014 anjuran My Team Sports Centre.

MIRI: Sempena Piala Dunia Brazil 2014, My Team Sports Centre mempelawa peminat sukan bola sepak di sini memeriahkan dan menyertai kejohanan FIFA World Cup Miri 2014 pada 5 April depan.

Pengerusi Penganjur, Alai Liaw berkata kejohanan bola sepak terbuka 11 sebelah tersebut bertujuan memberi peluang kepada peminat bola sepak bagi merasai kehangatan suasana Piala Dunia Brazil tahun ini.

“Kejohanan ini adalah memberi ruang kepada masyarakat di sini untuk bersama-sama merasai suasana Piala Dunia Brazil 2014, selain menyediakan hadiah menarik yang bakal menanti pemenang.

“Sehubungan itu, kita turut memberi peluang kepada peserta untuk mewakili 32 negara yang layak ke Piala Dunia Brazil berkenaan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, penganjuran kejohanan berkenaan juga memupuk serta menanam semangat kesukanan dalam berpasukan selain menggalakkan para belia melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan menghiburkan.

“Juga adalah peluang masyarakat setempat khususnya belia menunjukkan serta mengasah bakat masing- masing dalam sukan bola sepak dan meningkatkan disiplin selain turut mengeratkan hubungan kalangan mereka,” ujarnya.

Kejohanan terbabit terbuka kepada lelaki warganegara Malaysia dan bagi warga asing yang mempunyai dokumen sah.

Yuran pendaftaran bagi setiap pasukan ialah RM580, manakala mana-mana pasukan yang membeli 18 helai jersi bernombor dari My Team Sports Centre dalam satu resit hanya perlu membayar yuran penyertaan RM550 sahaja.

Setiap pemain hanya boleh didaftar dan bermain dalam satu pasukan sahaja.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada pihak penganjur pada atau sebelum tarikh dan waktu yang ditetapkan.

Penganjur berhak memeriksa dan menolak kelayakan pendaftaran pemain sekiranya didapati bercanggah dan menerima aduan secara bertulis.

Juara pasukan bakal membawa pulang sebuah trofi Piala Dunia 2014 tajaan My Team Sports Centre, wang tunai RM1,800 berserta medal.

Tempat kedua menerima sebuah trofi Piala Dunia 2014 tajaan My Team Sports Centre, wang tunai RM1,500 serta medal manakala tempat ketiga sebuah trofi Piala Dunia 2014 tajaan My Team Sports Centre, wang tunai RM1,000 serta medal.

Sementara tempat keempat menerima sebuah Piala Dunia 2014 tajaan My Team Sports Centre, serta penjaring terbanyak bakal membawa pulang hadiah kasut emas.

Tarikh tutup penyertaan dan menghantar borang ialah pada 30 Mac selewat- lewatnya pada jam 2 petang.

Cabutan undi akan dibuat semasa taklimat pengurus pada 30 Mac pada jam 3 petang di bilik mesyuarat Pusat Belia, Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) di sini.

Mereka berminat boleh menghubungi Alai di talian 016- 8528522 atau 085-418787, Jefry (Apple Lodge) 013 8448417 atau 085-419696, atau Johny (My Team Sports Centre) 016-8872285 bagi keterangan lanjut berhubung kejohanan Fifa World Cup Miri 2014.

Advertisement