Anda di sini

JTS harus percepat pemberian hak milik 2,000 hektar tanah

Advertisement

SIBU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) diminta mempercepat pemberian hak milik 2,000 hektar tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada Kumpulan Wang Amanah.

Presiden Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Cina Swasta Sarawak Bersatu Temenggung Vincent Lau berkata, proses pemberian itu wajar dipercepatkan kerana Kumpulan Wang Amanah ditubuhkan untuk menguruskan harta yang diluluskan kabinet negeri.

Dalam satu laporan media pada Mei tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan pemberian tanah seluas 2,000 hektar di Sungai Silat/Sungai Salutan/Sungai Agan di Miri kepada Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Cina Swasta Sarawak Bersatu.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dilaporkan sebagai berkata tanah tersebut akan diserahkan sahaja lembaga amanah ditubuhkan bagi menguruskan hal tersebut.

“Sebenarnya, kami telah menulis kepada JTS meminta mereka mempercepat pemberian hak milik tanah kepada Kumpualan Wang Amanah.

“Namun, sehingga kini masih belum selesai dan kami berharap menerima berita baik daripada pihak terbabit tidak lama lagi,” kata Lau ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, pemberian tanah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu pembangunan pendidikan sekolah Cina di negeri ini.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Lau berkata tanah tersebut sesuai untuk tujuan pertanian.

Oleh itu, penanaman tanaman kontan seperti kelapa sawit akan diberi keutamaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa tanah tersebut juga telah dimajukan dengan pelbagai pembangunan.

Bercakap lanjut, Lau memberitahu bahawa sekolah swasta Cina di negeri ini membelanjakan berjuta-juta ringgit dan mengalami defisit kebelakangan ini.

Justeru, menerusi pembangunan tanah berkenaan diharapkan dapat menampung pendapatan pihak pengurusan bagi mengurangkan beban 14 sekolah swasta Cina di negeri ini.

Advertisement