Anda di sini

Joseph sandaran Alberts

Advertisement

JOSEPH

Sarawak bakal melakukan rombakan gara-gara ketumpulan jentera serangan

KUCHING: Kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie berkemungkinan besar akan menggalas tanggungjawab sebagai penyerang dalam saingan Liga Super 2014 menentang Sime Darby FC di Stadium Negeri di sini malam ini.

Ketumpulan jentera serangan memaksa ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts melakukan rombakan drastik memastikan jentera penggempur pasukannya tidak lagi mensia-siakan peluang.

Joseph dijangka akan bergandingan dengan Milorad Janjus atau Alireza Abasfard di barisan hadapan.

Seorang lagi penyerang import, Muamer Salibasic belum dapat diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan.

Ketiadaan Muamer banyak memberi kesan kepada jentera penggempur Sarawak yang ternyata sukar memanfaatkan banyak peluang yang terhidang.

Sarawak berada pada kedudukan tercorot liga ketika ini perlu menang pada perlawanan menentang Sime Darby FC malam ini untuk memastikan tiga mata mampu diraih.

Ini kerana, dua perlawanan Liga Super sebelum ini menyaksikan Sarawak kalah di tangan ATM (2-0) dan Kelantan (1-0).

ALBERTS

Alberts ketika dihubungi di sini semalam berkata, Joseph akan bergandingan dengan Milorad atau Alireza sebagai penggempur.

“Saya harap gandingan Joseph dan salah seorang pemain import di barisan hadapan dapat membuahkan hasil dan memastikan kita mampu mencapai kemenangan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bekas penyerang kebangsaan Akmal Rizal akan bertindak sebagai pemain ‘supersub’.

“Akmal memang akan diturunkan, mungkin pada separuh masa kedua,” ujarnya.

Alberts menjelaskan, tidak banyak perubahan bakal disaksikan pada posisi lain dengan Junior Eldstal, Reeshafiq Alwi, Ashri Chuchu dan Lot Abu Hassan akan menggemudikan jentera tengah.

Manakala jentera pertahanan akan diterajui Gabor Gyepes, Ronny Harun, Mohd Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai sementara Sani Anuar Kamsani bertindak selaku penjaga gol.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Sime Darby FC, Alberts berkata pasukannya tidak memandang rendah kemampuan pasukan kendalian Ismail Zakaria itu kerana mempunyai barisan pemain berkualiti termasuk tiga awang importnya.

“Biarpun pada musim lalu keputusan banyak memihak kepada kita, namun kali ini kekuatan Sime Darby FC agak berbeza kerana mempunyai beberapa pemain baharu,” katanya.

Advertisement