Anda di sini

Cadangan bina jalan raya di Pulau Bruit dibentangkan esok

Advertisement

TERIMA KASIH: Salah seorang ahli keluarga mangsa bot panjang karam di Batang Lassa baru-baru ini menerima sumbangan daripada Rohani.

PULAU BRUIT: Cadangan membina jalan raya sepanjang 12 kilometer menghubungkan Sungai Nai ke Kampung Peruai di sini, akan dibentangkan di kabinet pada hari Rabu ini (esok).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata demikian setelah mendengar keluhan penduduk setempat yang terpaksa menempuh bahaya menggunakan laluan sungai dan laut selama ini.

“Saya sendiri akan membawa perkara ini ke mesyuarat kabinet hari Rabu ini.

“Setelah mendengar rintihan penduduk di sini, memang mereka perlukan jalan raya dan perkara ini harus diberi perhatian,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,900 kepada waris mangsa yang terkorban serta mangsa yang terselamat dalam tragedi bot panjang karam di Batang Lassa pada 18 Januari lalu, di Kampung Tekajong di sini semalam.

Seramai 13 orang yang selamat menerima RM300 setiap seorang dan tiga mangsa yang cedera masing-masing menerima RM500. “

Manakala 11 keluarga mangsa yang meninggal dunia menerima RM1,500 setiap seorang.

Jelas Rohani lagi, sekiranya permohonan pembinaan jalan raya tersebut diluluskan nanti, ia akan memberi keselesaan kepada lebih 10,000 penduduk dan 13 kampung di utara Pulau Bruit.

“Saya juga berharap dengan adanya jalan raya itu nanti, ia secara tidak langsung dapat membangunkan infrastruktur setempat serta meningkatkan ekonomi mereka,” ujarnya.

Pada program yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar turut memberi sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Tekajong untuk kegunaan mereka melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Abdul Rahman serta Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat.

Advertisement