Anda di sini

Budak selamatkan dua adik daripada rentung

Advertisement

BERTUNGKUS LUMUS: Anggota bomba bekerja keras memadamkan kebakaran yang dipercayai bermula pada jam 10 pagi semalam.

SYUKUR ANAK SELAMAT: Bapa mangsa, Abdul Rahman Hashim memeluk anak-anaknya yang terselamat daripada kebakaran semalam.

KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun berjaya menyelamat dua adiknya dengan membawa mereka melarikan diri apabila rumah sewa mereka di Kampung Semariang Pinggir di Petra Jaya terbakar, semalam.

Menurut sumber, insiden sekitar jam 10 pagi itu disedari oleh kanak-kanak tersebut setelah diberitahu oleh adiknya.

Dia kemudiannya bergegas membawa adik-adiknya yang masing-masing berumur dua tahun dan lima tahun keluar dari rumah itu, sebelum memberi amaran ke-      bakaran kepada jiran-jiran yang  lain.

Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa yang merupakan penjawat awam sedang bekerja manakala ibu mereka keluar seketika.

Kebakaran itu dipercayai bermula di kawasan ruang tamu dan dipercayai diakibatkan oleh lingkaran penghalau nyamuk.

Rumah sewa itu dibahagikan kepada tiga bilik yang didiami tiga keluarga, merangkumi sekurang-kurangnya 14 orang.

Turut difahamkan, penyewa-penyewa mula mendiami bilik-bilik di rumah yang dibina lebih 12 tahun lalu, sejak setahun lepas.

Sementara itu, menurut sumber dari pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, bomba dari Balai Petra Jaya bergegas ke tempat kejadian susulan menerima panggilan kecemasan pada jam 10 pagi.

Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 10.14 pagi namun rumah berstruktur kayu itu tidak dapat diselamatkan.

Punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

Turut hadir di tempat kejadian ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai yang tampil memberi sumbangan dalam bentuk barang keperluan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

Advertisement