Anda di sini

Buat laporan polis berhubung kerugian akibat banjir

Advertisement

JENGUK RAKYAT: Rundi (tiga kanan) berbincang dengan penduduk di Rumah Philip pada sesi lawatan semalam.

BINTULU: Penduduk pedalaman khususnya di rumah panjang serta perkampungan terjejas banjir baru-baru ini disaran membuat laporan polis berhubung segala kerugian kepada balai polis serta mengisi borang khas disediakan di Jabatan Pertanian berdekatan.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata sebelum laporan polis dibuat, ketua rumah dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menyenaraikan harta benda yang rosak dalam setiap keluarga.

“Seterusnya, tuai rumah atau ketua kampung dengan bantuan ahli JKKK masing-masing hendaklah membuat laporan polis berhubung kerugian yang dialami dan salinan laporan itu diserahkan kepada Pejabat Daerah Sebauh bagi membolehkan bantuan selanjutnya dibuat,” katanya pada sesi lawatan kerja sehari ke dua rumah panjang yang terjejas teruk akibat banjir kilat di daerah kecil Sebauh, pagi semalam.

Rundi berkata bagi penduduk rumah panjang atau kampung yang hasil pertanian serta ternakan mereka rosak atau mati akibat banjir boleh mengisi borang khas yang disediakan di mana-mana Jabatan Pertanian berdekatan dengan menyenaraikan jenis tanaman dan ternakan.

Jelasnya, setelah siap diisi borang berkenaan harus dihantar bagi membolehkan bantuan selanjutnya diberikan.

“Sebaik-baiknya setiap tuai rumah atau ketua kampung hendaklah mendapatkan senarai nama penduduk rumah panjang masing-masing, senarai harta benda musnah sebelum laporan polis dibuat bagi memudahkan urusan bantuan,” ujarnya.

Pada sesi lawatan itu, Rundi serta rombongan melawat ke dua rumah panjang di Sungai Tisay yang dilanda banjir iaitu Rumah Philip Tom dan Rumah Unji Lagan.

Beliau turut menghulurkan bantuan segera sebanyak RM500 kepada setiap ahli keluarga terjejas bagi meringankan beban yang terpaksa mereka tanggung.

Seterusnya, Rundi melawat ke tiga lagi  rumah panjang di Sungai Senggam Sebauh iaitu Rumah Rangga, Rumah Eyus dan Rumah Gawan yang mana geran bantuan sebanyak RM30,000 dengan setiap rumah panjang menerima bantuan RM10,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Rundi turut melawat Rumah Gani di Sungai Sebangat yang terjejas akibat berlakunya tanah runtuh di belakang rumah panjang terbabit.

Beliau dengan serta-merta menghubungi pihak berwajib agar memberi segala akses perlu dengan kadar segera bagi membantu kerja-kerja menghentikan runtuhan tanah itu.

Turut hadir Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebauh David Kala dan Penghulu Lanyau Ruma.

Advertisement