Anda di sini

Aktiviti berunsur budaya Islam perlu dihidupkan

Advertisement

JOHAN: Talib (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada Khairuddin yang muncul johan Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Dakwah sambil disaksikan oleh (dari kiri) Yusuf, Latif, Saffiee dan Pengiran Hamdan.

Berzikir, berzanji, lagu dakwah terhad pada musim perayaan (Islam) dan kenduri kahwin: Talib

BINTULU: Aktiviti-aktiviti berunsur budaya Islam perlu dihidupkan bagi memupuk minat masyarakat Islam terutama golongan muda terhadap budaya terbabit.

Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata berzikir, berzanji dan lagulagu dakwah dapat kita terima dengan baik tetapi aktivitiaktiviti itu terhad diadakan pada musim perayaan (Islam) dan kenduri kahwin sahaja.

Beliau berkata, keutamaan acara berzikir dan berzanji misalnya hanya diadakan pada majlis cukur rambut anak, menunaikan haji, berkhatan, khatamal al-Quran dan kenduri kahwin.

“Aktiviti itu begitu istimewa tetapi malangnya budaya itu hampir-hampir hilang disebabkan budaya-budaya hiburan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Berzanji Zikir Marhaban dan Karaoke Lagu-lagu Dakwah di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa I, kelmarin.

Pertandingan itu anjuran Biro Kebudayaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Assyakirin Fasa I.

Katanya minat terhadap aktiviti itu perlu dipupuk di kalangan masyarakat Islam khasnya dengan menarik lebih ramai golongan belia memandangkan ia mampu mengukuhkah ukhuwah dan Perpaduan.

Pada pertandingan Berzanji Zikir Marhaban, kumpulan Zikir Suara Harmoni muncul johan diikuti kumpulan Perguruan Seni Silat Helang Putih Perkasa Bintulu (PSHPP) sebagau naib johan untuk kategori lelaki.

Manakala johan kategori wanita disandang Urus Setia Saudara Kita Bintulu, naib johan kumpulan zikir Wanita Assyakirin Fasa 3 (Rosnani Kopli) dan tempat ketiga kumpulan zikir Wanita Assyakirin Fasa 3 (Patimah Suhaili).

Ini diikuti tempat keempat Biro Wanita Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong.

Bagi Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Dakwah, johan disandang Khairuddin Shafiee yang mendendangkan lagu berjudul ‘Selimut Putih’.

Sementara naib johan Jefry Ismail dengan lagunya ‘Dunia Hanya Pinjaman’ dan tempat ketiga ialah Aisah Peri.

Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang oleh Mariana Tuah dan Fatimah Saiit.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Talib.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 untuk Biro Kebudayaan JKKK kampung itu.

Pada majlis sama, bantuan mangsa banjir kilat turut disampaikan kepada penduduk kampung tersebut.

Turut hadir Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa I Pengiran Hamdan Pengiran Kerta, pengerusi pengelola Saffiee Semat, Pengerusi Surau Darul Salam Kampung Assyakirin Fasa I Yusuf Ali dan Latif Upit mewakili Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB).

Advertisement