Anda di sini

Ahli SRS diingat lakukan tugas dengan ikhlas

Advertisement

KHUSYUK: Sharifah Hasidah (dua kanan) ditemani Rose (kanan) dan Awang Khairuddin ketika mendengar taklimat pada Majlis Taklimat SRS dan Jom Ronda SRS Kampung Astana Lot, malam kelmarin.

Jangan harap bayaran atau upah sebagai ganjaran perkhidmatan mereka dalam menyalurkan bantuanKUCHING: Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) diingatkan untuk sentiasa melakukan tugas dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang bayaran atau upah sebagai ganjaran perkhidmatan mereka dalam menyalurkan bantuan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kerja sukarelawan merupakan penglibatan individu dalam menggembleng tenaga untuk membantu kerajaan tanpa mengharap bayaran.

”Sebagai pasukan sukarela kepada mana-mana badan berkepentingan mahupun sebagai ahli SRS, anda harus sentiasa ingat bahawa kerja yang dilakukan ini merupakan kerja ikhlas dari hati untuk membantu.

”Bagi ahli SRS khususnya, niat kerja kita adalah membantu pihak polis atau ketua kampung untuk menjaga keamanan kampung daripada gejala sosial mahupun jenayah demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang berkata, usaha menyalurkan bantuan itu harus dijadikan langkah proaktif dalam melahirkan suasana tempat tinggal yang selamat dan aman.

Pada masa sama, Sharifah Hasidah turut mengingatkan ahli SRS agar sentiasa menjaga keselamatan diri terutama semasa melakukan tugas SRS serta jujur dalam melaksanakan tugas.

”Akan tetapi, ketika ahli SRS membuat rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan kampung, kamu hendaklah menjaga keselamatan diri sendiri dan sentiasa berhemah serta jujur dalam bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat SRS dan Jom Ronda SRS Kampung Astana Lot, di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan SRS Kampung Astana Lot Awang Khairuddin Awang Buan berkata, penubuhan KRT dan SRS di kampung itu diharapkan dapat membantu mengurangkan permasalahan sosial serta kadar jenayah yang berlaku.

”Saya menyeru anak-anak muda belia di kampung ini untuk menyertai SRS untuk sama-sama menjaga keamanan kampung kita sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah seperti kes kecurian di sekitar kampung ini,” ujarnya.

Hadir sama pada taklimat itu ialah wakil Agensi Antidadah Kebangsaan Sudirman Bahri, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Taruna Madian, Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Kuching Rose Jonathan Garau dan Nurul Faizal Mohammad serta Pengerusi SRS Kampung Bintawa Tengah Bolhassan Rosli.

Advertisement