Anda di sini

Ahli majlis MBKS harus abadikan diri kepada rakyat

Advertisement

KUCHING: Ahli majlis, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) diingatkan agar bersedia mengabadikan diri kepada rakyat dan tidak boleh menganggap diri sebagai ‘jagoan’.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan berkata istilah ‘jagoan’ tidak wujud di MBKS kerana semangat bekerja secara berpasukan amat diutamakan di situ.

“Jika anda (ahli majlis) mahu menjadi jaguh, pergilah ke tempat lain.

“Di MBKS, anda harus berkhidmat untuk rakyat dan mencari jalan menyumbang kepada rakyat serta melakukan yang terbaik.

“Sebagai ahli majlis, anda harus menganggap diri anda sebagai kurang bernasib baik berbanding orang lain.

“Anda tidak boleh berharap untuk duduk sahaja di dalam bilik berhawa dingin bagi menentukan perkara perlu dilakukan,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis MBKS di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Peter Nansian Ngusie.

Chan menegaskan, ahli majlis mesti turun padang bertemu rakyat untuk mengetahui masalah mereka dan sedaya upaya menyelesaikannya secara praktikal.

Menurut beliau, rakyat kini meletakkan jangkaan yang amat tinggi terhadap mutu perkhidmatan disediakan oleh PBT dan MBKS khasnya kerana hakikatnya mereka membayar cukai setiap tahun.

Beliau bagaimanapun, percaya 80 hingga 90 peratus penduduk tinggal di kawasan pentadbiran MBKS golongan yang ‘sangat baik’ menghargai usaha-usaha dilaksanakan PBT itu selama ini.

Justeru beliau meminta semua ahli majlis MBKS mendengar serta memahami masalah rakyat dan berusaha menyelesaikannya.

Chan menambah, adalah penting untuk para ahli majlis menyumbang idea dan bekerja sebagai satu pasukan supaya jangkaan tinggi rakyat dapat dipenuhi.

Timbalan Datuk Bandar MBKS Abang Affandi Abang Anuar, mendahului majlis angkat sumpah sebagai ahli majlis MBKS yang dilantik semula bagi tempoh dua tahun (1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015).

Selain Abang Affandi, 16 lagi ahli majlis dilantik semula ialah Simon Lau, Sim Thong Poh, Goh Tze Hui, Chong Lee Choo, Fong Yee Chee, Su Chua Phin, Tan Kai, Abdul Baderi Sahmat, Hairiah Idris, Mohamad Taufik Abdul Ghani, Irwan Zulkarnain Hasbie, Sufian Ateng, Sumirati Sudarjo, Wan Mahmud Wan Abdullah, Timothy Julius dan Cooplay Nyipa Aji.

Manakala 14 lagi ahli majlis yang baharu dilantik ialah Tan Kay Hok, Chai Kueh Khun, Ng Chee Wee, Chang Siew Ling, Goh Yong Tat, Thomas Balan Bang, Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan Sirat, Manjeet Kaur Sidhu, Tony Chen, Lim Goh Horng Jeng, Liew Kui Moon, Clement Ling, Dr Nicholas Ngeh dan Dom Silang.

Advertisement