Anda di sini

Warga emas terbunuh dalam nahas babitkan enam kenderaan

Advertisement

KOTA TINGGI: Seorang warga emas terbunuh manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Km38, Jalan Johor Bahru–Mersing di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Fatimah Basok, 67, yang duduk di tempat penumpang hadapan sebuah kereta Produa Alza meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazahnya telah dibawa ke Unit Forensik Kesihatan, Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi dikebumikan di Benut, Pontian.

Pemandu kereta itu iaitu anak mangsa, Omar Yunus, 28, dan isterinya Elnaszelin Rosman, 26, cedera.

Omar kini dirujuk ke Hospital Sultan Ismail.

Rahmat berkata keluarga tersebut dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan di FELDA Lok Heng dekat sini.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Omar cuba mengelak sebuah jip yang tiba-tiba masuk ke laluannya lalu dia bergesel dengan kereta Nissan Cefiro, sebelum keretanya terbalik dan dirempuh pula sebuah kereta Toyota Unser yang datang dari arah Mersing,” katanya.

Beliau berkata sebelum itu sebuah kereta yang datang dari arah Mersing dikatakan berhenti untuk membuat pusingan ‘U’ menyebabkan sebuah lori dan jip berkenaan terpaksa berhenti.

“Akibat itu sebuah bas telah melanggar bahagian belakang jip tersebut sehingga menyebabkannya terbabas memasuki laluan Omar,” katanya.

Pemandu bas itu yang berumur 31 tahun yang beralamat di Kampung Tenglu, Mersing telah ditahan. — Bernama

Advertisement