Anda di sini

Wakil keluarga pasangan Malaysia mohon sijil berkelakuan baik

Advertisement

STOCKHOLM: Wakil keluarga pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden atas tuduhan memukul anak yang tidak solat memohon sijil berkelakuan baik bagi menemui keempat-empat anak pasangan itu.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata keluarga pasangan itu memohon sijil berkelakuan baik yang dikeluarkan Wisma Putra dan kemudian diluluskan Ketua Polis Negara sebelum surat itu dibawa untuk rujukan peguam mewakili kanak-kanak terbabit.

“Sehingga kini pihak keluarga sedang menunggu kelulusan bagi membolehkan mereka secara rasmi berhubung dan bertemu dengan anak-anak pasangan (melalui peguam yang dilantik).

“Difahamkan sebaik sahaja surat ini diperoleh, wakil keluarga akan segera menemui kanak-kanak itu. Inilah antara maklumat terbaharu yang disampaikan Wisma Putra kepada kami,” katanya kepada media Malaysia di sini Ahad.

Menurut laporan, pasangan berkenaan merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden iaitu Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal seorang guru sedang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, ditahan sejak 18 Dis lepas atas tuduhan mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat.

Ekoran penahanan kedua-duanya, anak-anak mereka terpisah dengan mereka hampir 40 hari dan pihak berkuasa Sweden telah melantik keluarga angkat bukan Islam untuk menjaga keempat-empat beradik berkenaan yang dikatakan tidak pula mendapat layanan baik daripada keluarga itu.

Difahamkan, wakil keluarga pasangan itu hanya pernah menemui kanak-kanak itu sekali sahaja pada 17 Jan lepas sejak mereka ditempatkan bersama pasangan angkat berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai keluarga Islam angkat baharu, Sheikh Nafiq berkata Wisma Putra juga mengesahkan usaha untuk pemindahan hak penjagaan sedang dalam peringkat akhir dengan dua keluarga telah disenarai pendek.

Jelasnya pihak berkuasa Sweden memberi pertimbangan serius kepada perkara ini dan difahamkan Mahkamah Pentadbiran Sweden akan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak terbabit dalam masa terdekat.

Dilaporkan, Mahkamah Pentadbiran di bawah Akta Khidmat Sosial dan Akta Penjagaan Orang Muda (Peruntukan Khas) meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan Khidmat Sosial.

Mahkamah itu membuat keputusan berdasarkan prinsip atas kepentingan kanak-kanak ini dan menyerahkan penjagaan mereka kepada keluarga angkat terpilih mengikut kriteria, syarat dan undang-undang Sweden.

Mengenai perkembangan pasangan itu pula, Sheikh Nafiq berkata, pihaknya menjangkakan satu ketetapan akan dibuat pada 29 Jan ini memandangkan 30 Jan adalah tarikh akhir reman tamat. — Bernama

Advertisement